Ekonomi Singapura tumbuh 2.1 peratus pada suku pertama 2015
Bernama
April 14, 2015 11:31 MYT
April 14, 2015 11:31 MYT
Berdasarkan unjuran awal, ekonomi Singapura tumbuh 2.1 peratus pada asas tahun ke tahun pada suku pertama 2015.
Angka ini sama dengan pertumbuhan yang direkodkan pada suku sebelumnya, kata Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu.
Menerusi kenyataan hari ini, MTI berkata mengikut asas tahunan yang diselaraskan berdasarkan musim, ekonomi berkembang pada kadar yang lebih perlahan iaitu 1.1 peratus berbanding 4.9 peratus pada suku sebelumnya.
Sektor pembuatan menguncup 3.4 peratus pada asas tahunan susulan penurunan 1.3 peratus pada suku sebelumnya.
Penguncupan itu disebabkan penurunan keluaran dalam kelompok kejuruteraan pengangkutan, elektronik dan kejuruteraan kejituan tinggi," katanya.
Pada asas suku ke suku, sektor itu merosot pada kadar tahunan 2.3 peratus, meneruskan penurunan 2.5 peratus pada suku sebelumnya.
MTI berkata sektor pembinaan tumbuh 3.3 peratus tahun ke tahun pada suku pertama, meningkat berbanding pertumbuhan 0.7 peratus yang direkodkan pada suku sebelumnya.
Ia berkata pertumbuhan itu dipacu oleh peningkatan dalam aktiviti pembinaan sektor swasta.
Berdasarkan angka pelarasan tahunan bermusim suku ke suku, pertumbuhan dalam sektor itu meningkat kepada 13.8 peratus berbanding 2.2 peratus sebelumnya.
Industri pengeluaran perkhidmatan pula berkembang 3.1 peratus pada suku pertama, angka yang sama seperti sebelumnya.
Pertumbuhan disokong oleh sektor seperti pemborongan dan perdagangan runcit serta perkhidmatan perniagaan.
Pada asas sukuan, industri pengeluaran perkhidmatan merosot pada kadar tahunan 0.4 peratus berbanding peningkatan 7.8 peratus pada suku sebelumnya.
MTI akan mengumumkan unjuran keluaran negara kasar bagi suku pertama, termasuk prestasi setiap sektor, sumber pertumbuhan, inflasi, pekerjaan dan produktiviti dalam Kajian Ekonomi Singapura, pada Mei 2015.