Ekonomi Singapura naik 0.4 peratus pada suku pertama 2023 - MTI

Bernama
Mei 25, 2023 12:22 MYT
MTI berkata, pihaknya mengekalkan ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2023 Singapura pada 0.5 peratus hingga 2.5 peratus. - Fail/Pixabay
SINGAPURA: Ekonomi Singapura meningkat 0.4 peratus pada asas tahun ke tahun pada suku pertama 2023, menyederhana daripada pengembangan 2.1 peratus pada suku sebelumnya, kata Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) Singapura.
Ekonomi Singapura meningkat 3.6 peratus pada 2022.
Kementerian itu dalam kenyataan hari ini berhubung prestasi ekonomi Singapura pada suku itu berkata, pihaknya mengekalkan ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2023 Singapura pada 0.5 peratus hingga 2.5 peratus.
Pada asas pelarasan musim suku ke suku, MTI berkata ekonomi menguncup 0.4 peratus daripada pertumbuhan 0.1 peratus pada suku keempat 2022.
Dari segi prestasi sektor,menurutnya sektor pembuatan merosot 5.6 peratus tahun ke tahun, lebih buruk daripada penguncupan 2.6 peratus pada suku terdahulu.
"Prestasi lemah sektor itu adalah disebabkan output yang berkurangan di seluruh kluster kecuali kluster kejuruteraan pengangkutan," katanya.
MTI berkata sektor pembinaan berkembang 7.2 peratus tahun ke tahun, meneruskan pertumbuhan 10.0 peratus pada suku terdahulu, dengan output pembinaan sektor awam dan swasta meningkat pada suku berkenaan.
Sektor penginapan pula menokok 21.9 peratus tahun ke tahun, meningkat daripada pertumbuhan 7.8 peratus pada suku sebelumnya, katanya.
"Pertumbuhan pada suku itu disokong oleh pemulihan kukuh bagi ketibaan pelawat antarabangsa daripada asas rendah dalam tempoh sama tahun lepas apabila sekatan perjalanan masuk masih dilaksanakan," katanya.
Dari segi unjuran ekonomi pada 2023, MTI berkata prestasi ekonomi negara maju seperti Amerika Syarikat dan Zon Euro lebih berdaya tahan daripada yang dijangkakan, disokong oleh permintaan terhadap perkhidmatan domestik.
"Bagaimanapun, unjuran pertumbuhan untuk tempoh berbaki tahun ini kekal lemah," katanya.
MTI berkata walaupun permintaan luaran terhadap barang niaga dan komoditi Singapura lebih lemah, prospek pertumbuhan negara utama Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand kekal positif, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan serta pemulihan yang berterusan.
Sehubungan itu, kementerian menjangka prospek permintaan luar Singapura lebih lemah sepanjang tahun ini.
"Di peringkat domestik, prospek pertumbuhan sektor berkaitan penerbangan dan pelancongan bagi ekonomi Singapura kekal positif disebabkan pemulihan yang berterusan bagi perjalanan udara antarabangsa dan pelancongan masuk.
"Bagaimanapun, prospek sektor pembuatan dan sektor berkaitan perdagangan lain ekonomi telah merosot," katanya.
-- BERNAMA
#Ekonomi Singapura #KDNK #menyederhana #Kementerian Perdagangan dan Industri
;