Ekonomi Singapura ke fasa kemelesetan tahun ini
Bernama
April 28, 2020 20:31 MYT
April 28, 2020 20:31 MYT
Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) pada Selasa mengulangi jangkaan awal mereka berlakunya kemelesetan di republik itu pada tahun ini, sambil menyatakan bahawa pandemik COVID-19 telah menyebabkan aktiviti ekonomi menguncup di Singapura dan peringkat global.
Keadaan ini berpunca daripada gabungan beberapa faktor iaitu gangguan rantaian bekalan, sekatan perjalanan di kebanyakan negara dan penyusutan permintaan secara mendadak, jelas bank pusat itu dalam kenyataan dasar monetari yang dikeluarkan pada Selasa.
MAS menegaskan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak -4.0 peratus kepada -1.0 peratus pada 2020.
Jelasnya, ini menyebabkan tekanan disinflasi dijangka meluas walaupun harga bagi beberapa barangan import dijangka meningkat berikutan gangguan dalam pengeluaran dan pengangkutan.
Sehubungan itu, MAS menurunkan jangkaan bagi Inflasi Teras dan inflasi Indeks Harga Pengguna semua barangan kepada -1.0 peratus kepada sifar peratus.
Berdasarkan kepada anggaran lanjut yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MTI) Singapura pada 26 Mac, ekonomi negara itu menguncup sebanyak 2.2 peratus bagi asas tahun ke tahun dalam suku pertama tahun ini.
MTI juga menurunkan unjuran pertumbuhan daripada 4.0 peratus kepada -1.0 peratus bagi 2020 berbanding unjuran awal -0.5 hingga 1.5 peratus.
Mengenai dasar monetari, MAS berkata pertumbuhan KDNK akan pulih pada akhirnya susulan tahap penurunan aktiviti secara mendadak, "namun, wujud ketidakpastian yang ketara mengenai kedalaman dan tempoh masa kemelesetan ini."
-- BERNAMA