Ekonomi Sempadan: Aktiviti penyeludupan rugikan penggiat IKS Sarawak

Astro Awani
Mac 14, 2023 21:47 MYT
Penyeludupan barangan tanpa cukai akan mengakibatkan persaingan tidak sihat pada pasaran domestik selain memberi kelebihan kepada pedagang asing yang aktif dalam industri kecil dan sederhana (IKS).
KUCHING: Isu keselamatan dan perdagangan sempadan antara perkara yang perlu ditangani dengan lebih serius bagi menghalang transaksi serta aliran kewangan haram yang boleh merugikan negara.
Pakar Ekonomi dan Keusahawanan, Dr Moslem Anoar berkata, dalam tempoh jangka panjang aktiviti tersebut boleh mengakibatkan produktiviti usahawan tempatan di kawasan sempadan negara terjejas.
Menurutnya, penyeludupan barangan tanpa cukai akan mengakibatkan persaingan tidak sihat pada pasaran domestik selain memberi kelebihan kepada pedagang asing yang aktif dalam industri kecil dan sederhana (IKS).
"Contohnya pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk juga kes curi kereta di Sarawak masuk ke Indonesia dan sebagainya itu merupakan isu-isu besar.
"Sebab itu, beberapa tahun lepas Kerajaan Sarawak membuat inisiatif berusaha untuk memperbaiki isu ini tetapi setidak-tidaknya usaha ke arah itu memang sudah ada," katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.
Pada 19 Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Kementerian Kewangan telah memberikan kelulusan awal berjumlah RM1 bilion kepada Sabah dan Sarawak.
Peruntukan itu untuk memulakan kerja-kerja menaik taraf prasarana dan keupayaan Komplek Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIGS) di sempadan kedua-dua negeri.
Untuk rekod, Sarawak memiliki lebih 10 pintu masuk sempadan negara merangkumi tiga pintu utama sempadan Sarawak-Kalimantan di CIQS Tebedu-Entikong, Biawak-Aruk, dan Lubok Antu-Nanga Badau.
#keselamatan sempadan #aliran kewangan haram #penyeludupan barangan #Industri Kecil dan Sederhana
;