Ekonomi semakin pulih, 42,166 individu berjaya dapat kerja pada Januari - PM

Umavathi Ramayah
Mac 3, 2022 14:28 MYT
Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan) memberitahu, 42,166 individu berjaya mendapat pekerjaan dengan 1,200 pekerjaan baharu diwujudkan pada Januari lalu. - Gambar JPM
KUALA LUMPUR: Sejumlah 42,166 individu berjaya mendapat pekerjaan dengan 1,200 pekerjaan baharu diwujudkan pada Januari lalu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, senario ini mencerminkan keadaan ekonomi Malaysia yang semakin pulih dengan pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi dan sosial.
"Malah, kejayaan ini juga membuktikan bahawa inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) berada di landasan yang tepat bagi mencapai sasaran penciptaan 600,000 pekerjaan pada tahun ini," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri memberitahu, Majlis Pekerjaan Negara (NEC) mengadakan mesyuarat pada Khamis bagi membincangkan program dan inisiatif yang telah dan akan dijalankan oleh agensi pelaksana untuk mencipta peluang pekerjaan bagi Keluarga Malaysia.
Katanya, Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia mempunyai tiga komponen utama iaitu insentif Penggajian Jamin Kerja, Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran serta Malaysia Short Term Employment Programme (MySTEP)
Menurutnya, NEC bersetuju dengan penetapan sasaran sejumlah 300,000 penempatan pekerjaan di bawah Insentif Penggajian Jamin Kerja, 220,000 di bawah Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran, dan 80,000 pekerjaan di bawah MySTEP.
"Sebagaimana aturan sebelum ini, pencapaian sasaran ini akan disokong oleh lima Pasukan Petugas Khas (STF) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha kementerian masing-masing.
"Sementara itu, Kementerian Sumber Manusia juga telah diarahkan merangka strategi yang khusus bertujuan meningkatkan lagi peluang pekerjaan bagi golongan belia," ujarnya.
Langkah itu katanya, penting kerana kadar pengangguran dalam golongan berkenaan berada pada tahap 80.3 peratus.
Beliau memberitahu, di samping itu, NEC juga meneliti dan membincangkan strategi bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Sistem kuota dan Multi-tier Levy (MTL) itu menurutnya, merupakan langkah yang boleh diambil dalam menangani isu ini dan sokongan daripada pihak majikan juga perlu bagi mengimbangi impak kekurangan tenaga kerja pasca-pandemik.
Justeru, beliau yakin strategi NEC dapat meneruskan momentum pemulihan ekonomi negara, meningkatkan penciptaan peluang pekerjaan serta mengurangkan kadar pengangguran.
Selain itu, kerajaan memandang serius isu-isu berkaitan seperti kekurangan pekerja dalam sektor tertentu, kesaksamaan peluang pekerjaan, perlindungan sosial bagi pekerja dan isu kebolehpasaran graduan.
Mengimbas kembali kejayaan yang telah dicapai pada tahun 2021, Ismail Sabri memberitahu, kerajaan dengan kerjasama bersepadu daripada pelbagai Kementerian, agensi pelaksana dan sektor swasta telah berjaya menempatkan 558,633 pekerjaan.
Pencapaian ini, kata Ismail Sabri, adalah 112 peratus daripada sasaran yang telah ditetapkan.
"Kerajaan yakin bahawa kejayaan ini boleh diulangi dengan sasaran yang lebih tinggi bagi tahun 2022," tambahnya.
#ismail sabri yaakob #Kementerian Sumber Manusia #pekerja asing #ekonomi
;