Ekonomi perlu melangkaui KDNK, bukan hanya kejar angka - Laporan WEF
Harits Asyraf Hasnan
Januari 17, 2024 06:45 MYT
Januari 17, 2024 06:45 MYT
DAVOS: Laporan baharu yang diterbitkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) memberi gambaran bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang secara konvensional dinilai ketika ini adalah tidak lengkap sekiranya tiada pemahaman yang lebih mendalam tentang sifat asas dan kualiti pertumbuhan.
Kelembapan ekonomi dunia dijangka jatuh ke kadar terendah dalam tiga dekad menjelang 2030, di tengah-tengah kejutan ekonomi dan geopolitik yang berterusan, menurut laporan The Future of Growth yang diterbitkan pada Rabu.
Hubung kait cabaran global, seperti krisis iklim dan kontrak sosial yang semakin lemah, secara kolektif akan memburukkan lagi kesan kemerosotan ekonomi, memperlahankan kemajuan dalam pembangunan global.
Tidak hanya mengukur pertumbuhan sesebuah negara dari segi analisis KDNK, laporan itu sebaliknya melihat 'sifat asas dan kualiti pertumbuhan' di pelbagai negara berdasarkan empat bidang utama: inovasi, keterangkuman, kemampanan dan daya tahan.
ANALISIS GLOBAL
Secara purata, ekonomi negara dalam tinjauan mendapat markah tertinggi dalam keterangkuman (sejauh mana mereka mendapat manfaat dan mencipta peluang untuk semua rakyat) dan daya tahan (sejauh mana mereka boleh bertahan dan pulih daripada kejutan).
Secara khusus, negara-negara secara purata mendapat markah 55.9 daripada 100 untuk keterangkuman dan 52.8 untuk daya tahan.
Namun, laporan itu mendedahkan bahawa banyak negara tumbuh dalam cara yang tidak mampan atau inklusif disebabkan cabaran dalam menerima pakai inovasi dan meminimumkan kecenderungan mereka kepada kejutan global.
Sementara itu, purata skor global untuk kemampanan iaitu dengan menilai sejauh mana ekonomi boleh bertahan dalam cabaran alam sekitar, ialah 46.8 daripada 100.
Negara-negara secara purata mendapat markah paling teruk dalam inovasi (mengukur sejauh mana ekonomi boleh menyesuaikan diri dengan perkembangan baharu untuk peningkatan pertumbuhan jangka panjang) kerana ia mencapai 45.2 daripada 100.
TIGA NEGARA EROPAH REKOD KEMAMPANAN TERTINGGI
Di antara 107 ekonomi yang ditinjau dalam laporan itu, tiada satu pun negara yang mendapat markah lebih tinggi daripada 80 peratus melibatkan semua empat dimensi.
Negara berpendapatan tinggi mencatat purata KDNK sebanyak AS$52,475 per kapita pada 2023.
Antara 2018 dan 2023 mereka mengalami purata pertumbuhan KDNK per kapita tahunan sebanyak 1.01 peratus.
Corak pertumbuhan negara-negara ini cenderung ditandai dengan skor tinggi dalam keterangkuman (68.9), inovasi (59.4), dan daya tahan (61.9), menurut laporan WEF, tetapi digagalkan dari segi kemampanan (45.8).
Negara dalam kategori ini termasuk Australia, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Arab Saudi, Korea Selatan, UK dan AS.
Lebih khusus lagi, negara seperti Switzerland (80.4), Singapura (76.4), dan AS (74.1) mendapat markah terbaik untuk inovasi; Finland (77.7) dan Kanada (75.8) untuk keterangkuman; Sweden (60.9), Jerman (56.3), dan UK (54.0) untuk kemampanan; dan Australia (69.5) dan Jepun (66.3) untuk daya tahan.
WEF menyatakan bahawa cabaran biasa yang menghalang prestasi pertumbuhan yang lebih teguh dan seimbang dalam kumpulan ini termasuk isu seperti ketersediaan bakat, akses dan peluang sama di tempat kerja, penggunaan teknologi hijau yang perlahan, selain kekurangan kemahiran semula dan peluang pembelajaran sepanjang hayat.
Laporan itu juga mengkaji ekonomi berpendapatan sederhana rendah dengan purata KDNK per kapita sebanyak AS$7,633 pada 2023.
Sepanjang lima tahun yang lalu, ekonomi ini memberi tumpuan kepada daya tahan, mengatasi ekonomi yang lebih kaya dalam kemampanan tetapi memerlukan peningkatan dalam keterangkuman dan inovasi.
Negara seperti Bangladesh, Mesir, India, Nigeria, Pakistan, Filipina dan Vietnam menghadapi cabaran dalam teknologi, jaringan keselamatan sosial, tenaga boleh diperbaharui dan penjagaan kesihatan.
Begitu juga, ekonomi berpendapatan rendah, dengan purata AS$1,533 per kapita pada tahun 2023, dengan wujud ruang untuk penambahbaikan dalam daya tahan, keterangkuman dan inovasi.
Cabaran bagi mereka termasuk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), ketersambungan, pemakanan, peraturan alam sekitar dan kepelbagaian sumber tenaga.
Sebagai contoh, Rwanda cemerlang dalam daya tahan tetapi menghadapi cabaran dalam bidang seperti ICT dan tenaga, menurut laporan itu.
MENUJU MASA HADAPAN
Menurut laporan tersebut, banyak negara masih berkembang dengan cara yang tidak mampan atau inklusif lantaran terpaksa berjuang untuk mencipta inovasi masa depan dan mendepani risiko cabaran global.
"Masa depan pertumbuhan mesti beralih kepada keseimbangan yang lebih baik antara kuantiti dan kualiti. Mengharapkan 'pulangan' mudah kepada pertumbuhan KDNK tidak mencukupi," kata Pengarah Urusan WEF, Saadia Zahidi dalam laporan itu.
"Sebaliknya, setiap negara mesti melalui perjalanan unik dan kompleks ke arah mencapai pertumbuhan yang inovatif, inklusif, mampan dan berdaya tahan, sambil memperkukuh daya tahan global."