Ekonomi perlahan pemangkin perkembangan industri mikro - Musa Hitam

Nuradilla Noorazam
November 21, 2016 11:41 MYT
MUSA: Hanya kerana ekonomi merosot tidak bermakna peluang untuk berniaga tertutup, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana. -Gambar fail
Prestasi ekonomi dunia yang perlahan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi di banyak negara, termasuk Malaysia.
Namun, menurut Pengerusi World Islamic Economic Forum Tun Musa Hitam, keadaan ini juga membawa hikmah kepada industri mikro untuk terus berkembang.
"Hanya kerana ekonomi merosot tidak bermakna peluang untuk berniaga tertutup, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
"Malah, semakin merosot ekonomi, semakin besar peluang perusahaan seperti ini untuk meningkat naik," kata Musa pada Forum Rangkaian Perusahaan Wanita (Women Business Forum) anjuran World Islamic Economic Forum di daerah Gyaepong, Korea Selatan.
Forum tersebut membicarakan masa depan 'ekonomi kreatif' dan bagaimana golongan wanita boleh mengambil peluang dalam sektor tersebut untuk menjana pendapatan dan mengangkat martabat komuniti miskin, terutama di luar bandar.
Jelasnya, peluang perniagaan dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana juga memberi peluang kepada golongan wanita untuk menceburinya.
"Suasana yang begitu rupalah yang saya fikir memberi peluang kepada wanita mengambil bahagian dalam sektor perusahaan. Apa yang sedang kami di WIEF lakukan sekarang adalah untuk memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana dan wanita.
"Kita mahu perusahaan mereka menjadi maju, dari sesuatu bersaiz mikro kepada kecil dan kemudian meningkat ke sederhana dan naik lagi. Perkara ini boleh dicapai kalau kita ada 'fundamental attitude' atau sikap dasar dari segi bentuk pemikiran kita.
Tambahnya isu utama bidang perusahaan mikro, kecil dan sederhana adalah kebolehcapaian, terutamanya untuk golongan wanita.
"Ramai wanita yang mahu berniaga, mereka berusaha dan mereka hendak belajar. Tugas kami di WIEF adalah menjadi pemboleh upaya yang akan memberi mereka peluang dan tunjuk ajar mengenai cara-cara untuk menjadi lebih maju," katanya.
Musa dalam ucapannya sewaktu majlis pembukaan forum tersebut berkata dunia sudah berubah dan sektor kreatif yang berpandukan inovasi, budaya dan kraftangan harus diberikan kepentingan.
"Lima belas tahun yang dulu, syarikat-syarikat terbesar dunia terdiri daripada Shell, BP, General Electric, dan JP Morgan Chase. Kini, syarikat-syarikat ini diganti oleh Apple, Facebook, Google dan ICBC. Dahulu, ekonomi digerakkan sektor perindustrian namun kini kita melihat bahawa ia dipacu oleh teknologi dan inovasi.
"Disebabkan itu saya merasa bahawa amat penting untuk kita membincangkan perkara ini, lebih-lebih lagi bagaimana ia boleh membantu ekonomi Malaysia untuk terus berdaya saing di peringkat dunia," katanya.
#Forum Rangkaian Perusahaan Wanita #Musa Hitam #WIEF #Women Business Forum #World Islamic Economic Forum
;