'Ekonomi negara tidak begitu terkesan dengan tindakan Anwar'
Ridauddin Daud
Oktober 12, 2020 06:52 MYT
Oktober 12, 2020 06:52 MYT
KUALA LUMPUR: Ekonomi negara sudah teruk terjejas sejak Malaysia diserang pandemik COVID-19.
Oleh itu, berita mengenai Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah hari ini dijangka tidak begitu menjejaskan ekonomi negara.
Pandangan itu disuarakan Profesor Kanan, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Unimas, Datuk Prof Dr Shazali Abu Mansor yang menegaskan, isu COVID-19 sebenarnya menenggelamkan banyak isu lain dalam negara.
Jelasnya, sekiranya berlaku pertukaran kerajaan sekalipun, kesannya tidak begitu ketara kepada ekonomi dan pasaran saham kerana politik Malaysia sememangnya berada dalam keadaan tidak stabil sejak setahun lepas.
“Pandemik ini lebih jatuhkan ekonomi. Kalau kata nak jatuh ekonomi, nak jatuh macam mana lagi, pelabur-pelabur dalam negara kita masih tetap akan melabur.
“Tapi mungkin pelabur luar sekarang tak nak melabur juga walaupun tidak ada Anwar kerana faktor pandemik ini.
"Jadi, tak banyak sangat signifikannya pengaruh Anwar dalam jangka masa pendek ini terhadap ekonomi Malaysia,” katanya kepada Astro AWANI.
Pandangan sama turut disuarakan Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.
Menurutnya, selepas Anwar selesai bertemu Yang di-Pertuan Agong, sudah semestinya akan berlaku perubahan sentimen dan pergerakan saham namun ia hanya bersifat sementara.
“Secara keseluruhannya memang tidak akan memberi impak besar kerana kita tahu bahawa sebarang perubahan politik di Malaysia ini sentiasa ditangani dengan penuh tertib.
“Tidak berlaku satu perubahan kuasa yang menyebabkan ekonomi, industri dan suasana membimbangkan.
“Saya yakin apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim jumpa Agong, kesan kepada ekonomi dan pasaran saham adalah di tahap minimum,” ujarnya.
Tambahnya, andai kata selepas pertemuan itu, Anwar kemudian diangkat menjadi Perdana Menteri, Ahmed Razman menjangkakan pelan pemulihan ekonomi yang direncana sebelum ini akan berjalan seperti biasa.
“Dasar kerajaan sekarang akan tetap berjalan seperti biasa kerana yang menjalankan dasar ini adalah kakitangan kerajaan, yang menentukan dasar dan polisi baru adalah ahli politik atau ahli Parlimen,” jelasnya.
Katanya lagi, perancangan untuk Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 juga hampir lengkap dan sebarang perubahan kerajaan tidak akan begitu memberi kesan terhadap rancangan itu.
#Anwar Ibrahim
#PKR
#Parti Keadilan Rakyat
#Yang di-Pertuan Agong
#Agong
#menghadap
#kerajaan baru
#tukar kerajaan
#13 Oktober
#Selasa
#Muhyiddin Yassin
#Perdana Menteri
#Muhyiddin
#presiden
#rakyat
#COVID-19
#pandemik