Ekonomi negara makin berkembang, pelabur semakin percayakan Malaysia - Gabenor BNM

Khalis Khadir
September 18, 2024 15:48 MYT
Abdul Rasheed ketika menyampaikan ucaptama majlis penjenamaan semula Institut Insurans Asia (Aii) yang dahulunya dikenali sebagai Institut Insurans Malaysia di Kuala Lumpur pada Rabu. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Prospek jangka panjang ekonomi negara adalah cerah kerana pelaburan kembali meningkat dengan kukuh dan ia boleh disifatkan dengan terma ‘kitaran naik pelaburan’ baharu.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata, ia berdasarkan prospek jelas untuk pelaburan swasta dan awam yang dilihat terjamin terutama melihat perubahan sektor elektrik dan elektronik, projek infrastruktur dan tenaga boleh diperbaharui.
“Projek berkualiti ini boleh menyumbang kepada produktiviti lebih tinggi, perancangan ekonomi yang lebih besar dan akhirnya menjana pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat di negara kita.
"Ini memacu ekonomi negara untuk terus berkembang. Melihat kepada perkembangan ekonomi sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua tahun ini, ia disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dan pemulihan dalam permintaan luar.
"Apa yang penting ialah prospek jangka panjang kita adalah cerah kerana pelaburan meningkat semula dengan kukuh dalam apa yang digambarkan sebagai 'kitaran menaik pelaburan' baharu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama majlis penjenamaan semula Institut Insurans Asia (Aii) yang dahulunya dikenali sebagai Institut Insurans Malaysia.
Komitmen Aii untuk menangani keperluan industri insurans yang bersifat kompleks dan tidak menentu dalam struktur global yang dinamik menjadi salah satu faktor utama penjenamaan semula itu.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan premium perniagaan baharu dalam industri insurans hayat dan insurans am mencatat pertumbuhan dua angka kepada lebih RM20 bilion pada separuh pertama tahun ini.
Katanya, industri takaful keluarga dan takaful am turut merekodkan perkembangan positif dengan caruman lebih RM7 bilion bagi tempoh dikaji.
“Sektor insurans dan takaful Malaysia akan kekal sebagai titik penting kepada negara. Tiada keraguan, pengalaman industri dalam beberapa tahun kebelakangan ini dalam memacu pembaharuan dalam bidang perlindungan perubatan dan perlindungan motor memang menggalakkan.
“Namun, walaupun kami telah mencatatkan kemajuan besar ke arah memastikan kelestarian perlindungan dan memupuk inovasi, masih banyak peranan yang perlu dilakukan oleh kami,” katanya.
Malaysia mencatatkan nilai pelaburan yang diluluskan berjumlah RM83.7 bilion merentasi pelbagai sektor bagi tempoh Januari hingga Mac 2024 mewakili peningkatan 13 peratus daripada RM74.1 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
Jelas Rasheed lagi, pelaburan yang diluluskan berjumlah hampir RM84 bilion untuk suku pertama 2024 itu mencerminkan kepercayaan pelabur terhadap Malaysia.
Jumlah pelaburan yang diluluskan untuk suku pertama 2024 merangkumi 1,257 projek yang dijangka menjana 29,027 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat di negara ini.
#Bank Negara Malaysia #pelaburan #Gabenor Rasheed #ekonomi malaysia
;