Ekonomi negara lumpuh tanpa GST, tegas PM

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 17, 2016 11:49 MYT
Perdana Menteri berkata dakwaan pembangkang kononnya GST telah menyebabkan kemerosotan ekonomi domestik adalah tidak benar. -Gambar hiasan
Ekonomi negara akan lumpuh tanpa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), tegas Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ujar Perdana Menteri, dakwaan pembangkang kononnya GST telah menyebabkan kemerosotan ekonomi domestik adalah tidak benar.
"(GST menyebabkan kemerosotan ekonomi domestik) adalah tafsiran pembangkang. Hakikatnya, GST adalah penyelamat ekonomi Malaysia.
"Tanpa GST, ekonomi negara akan lumpuh," katanya menjawab soalan tambahan Liew Chin Tong (DAP-Kluang) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri menjawab soalan tambahan Chin Tong sama ada kerajaan bersedia mengurangkan kadar GST kepada tiga peratus kerana GST didakwa menyebabkan kemerosotan ekonomi domestik.
Mengulas tentang isu pertikaian Laut China Selatan, Datuk Seri Najib berkata sebarang pertikaian melibatkan isu antarabangsa, termasuk Laut China Selatan, perlu ditangani melalui dialog dan perundingan.
Jelas beliau, apa yang perlu menjadi keutamaan pada ketika ini adalah untuk memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serta kebebasan pelayaran atau penerbangan dalam tuntutan bertindih melibatkan beberapa negara iaitu Brunei, Filipina, Malaysia, Vietnam dan China.
"Pendirian Malaysia berhubung Laut China Selatan adalah jelas dan konsisten. Semua negara mestilah memastikan keamanan dan kestabilan.
"Sebarang tindakan yang boleh menggugat keamanan dan kestabilan, menimbulkan kebimbangan dan kecurigaan, serta bersifat provokatif hendaklah dielakkan," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Hasan Arifin (BN-Rompin) yang ingin tahu tindakan Malaysia terhadap kependudukan China di Kepulauan Spratly dalam isu perebutan Laut China Selatan dan sama ada wujud perjanjian dengan Amerika Syarikat dan Australia berhubung perkara tersebut.
Datuk Seri Najib berkata isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman, dengan semua tuntutan dan penyelesaian mestilah berdasarkan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982).
#cukai barang dan perkhidmatan #Ekonomi negara lumpuh #GST #Najib Razak
;