Ekonomi negara kekal berdaya tahan - Zeti

Najib Aroff, Nurulhana Ismail
Mac 23, 2016 12:06 MYT
ZETI: Ekonomi negara kekal berdaya tahan dengan kemampuan mengurus potensi risiko kelemahan pertumbuhan. -Gambar fail
Ekonomi negara kekal berdaya tahan dengan kemampuan mengurus potensi risiko kelemahan pertumbuhan.
Menurut Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, ekonomi diramal tumbuh 4 ke 4.5 peratus tahun ini dipacu permintaan domestik dengan sektor pembuatan dan perkhidmatan kekal pemacu utama.
Zeti berkata penggunaan swasta diramal tumbuh 5.1 peratus sementara pelaburan swasta diramal tumbuh 5.5 peratus.
Tambahnya, eksport pembuatan dijangka tumbuh 5.6 peratus sekaligus mengimbangi kelemahan eksport komoditi.
Zeti menambah ringgit dijangka kekal tidak menentu meskipun ia kini menunjukkan tanda pengukuhan sedikit.
"Sudah pasti pengukuhan ringgit adalah positif. Namun ini semua kerana aliran kewangan yang perlu kita perhatikan.
"Apa yang kita mahukan adalah trend asas. Kita percaya selagi kedudukan luaran positif, ekonomi terus tumbuh, dan sistem kewangan yang kukuh akan menyokong asas matawang kukuh," ujar Zeti mengulas mengenai kedudukan ekonomi dan ringgit pada pembentangan Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi 2015 pada Rabu.
Tambahnya inflasi 2016 dijangka berada pada 2.5 hingga 3.5 peratus tahun ini susulan peningkatan kos barangan dan kelemahan ringgit.
Bagaimanapun ia dijangka diseimbangkan oleh kelemahan harga minyak mentah.
#BNM #ekonomi #Laporan Tahunan BNM 2015 #Malaysia #Zeti