Ekonomi negara akan terus berada pada landasan yang kukuh - Penganalisis

Astro Awani
Januari 20, 2015 22:21 MYT
NAZZARY: Pasaran dan ekonomi negara dilihat amat proaktif.
FTSE Bursa Malaysia tidak menunjukkan impak negatif susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai penstrukturan semula Bajet 2015.
Penganalisis Jupiter Securities, Nazzary Rosli berkata indeks pasaran saham yang menunjukkan sedikit penurunan pada awal hanya dilihat sebagai kesan peningkatan indeks yang tinggi pada Isnin.
Beliau berkata, tidak ada perubahan yang begitu besar terhadap pasaran kerana sebarang pengurangan hanya membabitkan sektor kerajaan.
"Kami melihat ekonomi Malaysia akan terus berada pada landasan yang kukuh. Pasaran dan ekonomi negara juga dilihat amat proaktif," katanya dalam satu temubual menerusi telefon bersama Astro AWANI di sini pada Selasa.
Nazzary turut memberikan penekanan bahawa pengumuman perdana menteri mengenai keadaan ekonomi negara yang bukan bersifat krisis sebaliknya bersifat tekanan ke atas pendapatan negara.
Beliau yakin pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada bulan April tahun ini akan meringankan beban kerajaan dan meningkatkan pendapatan negara.
Tambahnya lagi, ekonomi dalaman negara turut akan bertambah baik disebabkan penurunan harga minyak yang memberi peningkatan pendapatan boleh guna rakyat.
#Bajet 2015 #Bursa Malaysia #ftse #impak #Najib Tun Razak #Nazzary Rosli #negatif #penstrukturan #semula
;