Ekonomi membangun Asia diunjur berkembang 5.2 peratus tahun ini

Bernama
April 6, 2022 14:20 MYT
Beberapa wilayah/rantau dijangka kembali kepada kadar pertumbuhan ekonomi yang mereka alami sebelum penularan pandemik, menurut Bank Pembangunan Asia.
KUALA LUMPUR: Ekonomi membangun Asia diunjur berkembang 5.2 peratus tahun ini dan 5.3 peratus pada 2023, hasil pemulihan yang menggalakkan dalam permintaan domestik dan pengembangan berterusan bagi eksport, kata Bank Pembangunan Asia (ADB).
Bagaimanapun ketidakpastian yang berpunca daripada pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, pandemik COVID-19 yang berterusan dan langkah ketat monetari Amerika Syarikat oleh Rizab Persekutuan AS boleh menimbulkan risiko terhadap prospek pertumbuhan, kata ADB dalam edisi terbaharu penerbitan ekonomi utamanya 'Asian Development Outlook (ADO) 2022' yang dikeluarkan hari ini.
"Beberapa wilayah/rantau termasuk Asia Selatan dan Asia Timur, dijangka kembali kepada kadar pertumbuhan ekonomi yang mereka alami sebelum penularan pandemik.
"Walaupun inflasi di rantau ini kekal terkawal, ia diramalkan meningkat kepada 3.7 peratus tahun ini, sebelum menyederhana kepada 3.1 peratus pada 2023," katanya.
Menurut laporan itu, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine menimbulkan risiko paling ketara untuk membangunkan prospek ekonomi Asia dengan peningkatan mendadak dalam harga komoditi seperti minyak, dan ini telah meningkatkan ketidakstabilan dalam pasaran kewangan global.
Sementara itu, ia berkata COVID-19 terus memberi kesan kepada banyak bahagian di Asia yang sedang membangun, dengan beberapa ekonomi mengalami lonjakan baharu dalam jumlah kes.
ADB berkata ekonomi Asia Tenggara yang bergantung kepada perdagangan diunjur berkembang secara kolektif sebanyak 4.9 peratus tahun ini dan 5.2 peratus pada 2023, manakala ekonomi Malaysia dijangka meningkat sebanyak enam peratus pada 2022 dan 5.4 peratus tahun depan.
Ketua Ekonomi ADB Albert Park berkata ekonomi di Asia sedang membangun mula kembali bertapak apabila mereka perlahan-lahan bangkit daripada pandemik COVID-19 yang paling teruk.
"Bagaimanapun, ketidakpastian geopolitik dan pandemik COVID-19 baharu serta varian virus boleh menjejaskan momentum ini.
"Kerajaan di rantau ini perlu terus berwaspada dan bersedia untuk mengambil langkah-langkah menangani risiko ini -- termasuk memastikan seramai mungkin orang mendapat vaksin sepenuhnya terhadap COVID-19," tambah beliau.
Park berkata pihak berkuasa monetari juga harus terus memantau keadaan inflasi dengan teliti .
-- BERNAMA
#Bank Pembangunan Asia #ADB #ekonomi #pandemik #Asia
;