Ekonomi Malaysia tumbuh 5 peratus pada 2015 - Bank Negara
Najib Aroff
Februari 18, 2016 15:24 MYT
Februari 18, 2016 15:24 MYT
Ekonomi Malaysia tumbuh 4.5 peratus pada suku terakhir 2015 berbanding 4.7 peratus suku ketiga 2015, sementara bagi tahun penuh ia tumbuh 5 peratus berbanding 6 peratus pada 2014, disokong pemintaan domestik.
Bank Negara dalam kenyataan berkata di sebalik cabaran suku terakhir 2015, penggunaan swasta tumbuh 4.9 peratus berbanding 4.1 peratus suku sebelumnya disokong pertumbuhan gaji dan pasaran buruh yang sihat.
Pelaburan swasta pula tumbuh 5 peratus berbanding 5.5 peratus pada suku ketiga dipacu perbelanjaan modal dalam pembuatan dan perkhidmatan.
Menurut bank pusat, permintaan domestik akan terus menyokong pertumbuhan bergerak ke hadapan, bagaimanapun pengembangan permintaan domestik dijangka berada dalam keadaan sederhana.
Inflasi pula direkod pada tahap 2.6 peratus pada suku keempat disebabkan harga minyak yang lebih rendah, sementara nilai ringgit menyusut sebanyak 3.6 peratus berbanding dolar pada suku sama.
Rizab antarabangsa Bank Negara berjumlah RM409.1 bilion sehingga 31 Disember 2015.
Nilai ringgit mengukuh 3.6 peratus pada suku terakhir 2015 berbanding dolar.
Sementara itu pertumbuhan KDNK 2015 sebanyak 5 peratus masih kukuh di sebalik cabaran besar persekitaran ekonomi separuh kedua tahun lalu, malah ia bertepatan dengan sasaran kerajaan antara 4.5 hingga 5.5 peratus.
Kelemahan ringgit
Menurut Ketua Ekonomi Alliance Bank Manokaran Mottain, perbelanjaan swasta khususnya tumbuh lebih tinggi daripada jangkaan awal.
Tambah Manokaran, pertumbuhan suku pertama tahun ini bagaimanapun berdepan cabaran besar susulan perbelanjaan pengguna yang diunjur menyederhana.
“Kelemahan ringgit menyumbang kepada inflasi diimport. Selain itu peningkatan kos sara hidup akan merendahkan perbelanjaan pengguna. “ Katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Manokaran berkata selain itu, nisbah hutang isi rumah yang tinggi sekitar 87 ke 88 peratus berbanding KDNK turut bakal mempengaruhi kadar penggunaan domestik.
“Sebab itu kerajaan hadir dengan beberapa langkah meningkatkan kewangan pengguna. Antaranya memotong 3 peratus sumbangan KWSP pengguna supaya mereka mempunyai wang lebih untuk berbelanja.
“Bagaimanapun, berapa jumlah pekerja yang bakal memilih potongan itu (3 peratus) masih belum diketahui," katanya sambil menambah pertumbuhan KDNK tahun penuh itu dijangka tidak memberikan pengukuhan mendadak kepada nilai ringgit.
Ini kerana banyak faktor lain masih mempengaruhi pengerakan ringgit termasuk kelemahan harga minyak mentah global.
Ringgit dibuka kukuh pada 4.17 berbanding dolar pada Khamis.