Ekonomi Malaysia tumbuh 5.9 peratus pada 2017
Najib Aroff
Februari 14, 2018 13:00 MYT
Februari 14, 2018 13:00 MYT
Ekonomi negara pada 2017 direkodkan pada 5.9 peratus, disokong permintaan domestik, termasuk sektor swasta dan sektor luaran, berbanding 4.2 peratus pada 2016.
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), angka itu dicapai selepas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat direkodkan pada 5.9 peratus.
“Inflasi keseluruhan menurun sedikit kepada 3.5 peratus pada suku keempat 2017 berbanding 3.6 peratus suku ketiga, disebabkan terutamanya oleh inflasi yang lebih rendah dalam kategori perumahan, air, elektrik dan gas serta pengangkutan.
“Bagi tahun 2017 secara keseluruhan, purata inflasi ialah 3.7 peratus berbanding 2.1 peratus pada 2016,” kata bank pusat itu dalam satu kenyataan.
Ekonomi Malaysia dijangka kekal menggalakkan pada tahun 2018
BNM juga menyatakan, bagi tahun 2018, pertumbuhan ekonomi dijangka terus menggalakkan dengan permintaan dalam negeri kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan.
Tambahnya, jangkaan bahawa kadar pertumbuhan global akan menjadi lebih pantas terus memberikan manfaat kepada eksport Malaysia, sekali gus menghasilkan limpahan positif terhadap kegiatan ekonomi dalam negeri.
“Inflasi keseluruhan dijangka menjadi sederhana pada tahun 2018, mencerminkan kesan faktor kos global yang lebih kecil, serta ringgit yang lebih kukuh berbanding dengan tahun 2017,” kata BNM.
Kestabilan kewangan terpelihara
Pasaran kewangan domestik secara keseluruhan mengalami turun naik yang lebih rendah di tengah-tengah sentimen pasaran yang bertambah baik.
“Institusi kewangan domestik mengekalkan kualiti aset dan tahap keberuntungan yang kukuh.
“Secara agregat, sektor perniagaan dan isi rumah terus menunjukkan kemampuan yang kukuh untuk membayar balik hutang," tambahnya.
#Bank Negara
#Bank Negara Malaysia
#ekonomi
#Ekonomi Malaysia 2017
#Ekonomi Malaysia suku keempat
#eksport malaysia
#Import Malaysia
#Inflasi
#KDNK
#ringgit