Ekonomi Malaysia tumbuh 4.7% suku ketiga

Najib Aroff
November 13, 2015 12:36 MYT
-Meskipun ekonomi berdepan tekanan namun ia masih disokong oleh kepelbagaian sumber pertumbuhan." Gabenor
Ekonomi Malaysia tumbuh 4.7 peratus pada suku ketiga 2015 berbanding lima peratus suku sama tahun lepas dipacu permintaan domestik kukuh.
Permintaan domestik tumbuh empat peratus pada suku ketiga disumbang penggunaan swasta yang menyederhana pada 4.1 peratus dan pelaburan swasta tumbuh 5.5 peratus.
Menurut Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, meskipun berdepan cabaran hebat, ekonomi negara masih berdaya tahan dengan jangkaan pertumbuhan masih dilandasan tepat.
“Meskipun ekonomi berdepan tekanan namun ia masih disokong oleh kepelbagaian sumber pertumbuhan.
“Ia susulan usaha awal negara untuk mempelbagaikan pendapatan dan sudah pasti pertumbuhan kukuh ini disokong sistem kewangan yang kukuh.
"Kami yakin ekonomi mampu capai pertumbuhan 4 ke 5 peratus tahun ini."
Inflasi bagi suku sama berada pada 3 peratus peningkatan berbanding 2.2 peratus suku kedua 2015 dipacu peningkatan harga minyak dan harga makanan.
“Kami sudah jangkakan peningkatan ini susulan pelaksanaan GST berdasarkan apa yang berlaku kepada negara yang baru melaksanakan GST bagi permulaan. Namun ia akan kembali reda.
“Selain itu kelemahan nilai ringgit turut mempengaruhi inflasi namun kelemahan harga minyak mengimbangi kembali kesan tersebut," katanya.
#Bank Negara #BNM #ekonomi #eksport #Gabenor #GDP #Inflasi #KDNK #Q3 #suku ketiga #Zeti
;