Ekonomi Malaysia terus melebehi jangkaan, kata OSK-DMG

Bernama
November 19, 2012 12:07 MYT
Ekonomi Malaysia terus menunjukkan prestasi melangkaui jangkaan, dengan mencatatkan peningkatan 5.2 peratus tahun ke tahun pada suku ke-tiga berbanding jangkaan pasaran sebanyak 4.8 peratus,
demikian menurut OSK-DMG Economic Research.
Pertumbuhan ekonomi negara ini semasa sukuan itu juga lebih baik berbanding jangkaan 5.0 peratus tahun ke tahun oleh OSK-DMG, katanya dalam satu nota hari ini.
Permintaan domestik yang kukuh, yang meningkat 11.4 peratus tahun ke tahun pada suku ke-tiga, walau pun lebih perlahan daripada 14 peratus pada suku ke-dua, kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan, kata syarikat penyelidikan itu.
OSK-DMG menjangka pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal kukuh pada sukuan seterusnya, yang disokong Program Transformasi Ekonomi kerajaan.
Syarikat penyelidikan itu menjangka pertumbuhan suku ke-empat menyederhana sedikit kepada 5.0 peratus berikutan persekitaran global yang terus rapuh. "Sungguh pun begitu, ini tidak mengubah jangkaan kami bahawa ekonomi akan berkembang 5.2 peratus pada 2012."
"Kami juga mengekalkan unjuran 4.9 peratus keluaran dalam negara kasar 2013 kami pada masa ini berikutan ketiadaan petunjuk jelas di dalam persekitaran global," katanya.
OSK-DMG mengulangi jangkaannya bahawa Bank Negara akan memastikan kadar dasar utama akomodatif bagi menyokong pertumbuhan sehingga separuh pertama 2013 kerana pilihan raya umum belum diumumkan.
"Bagaimana pun, semasa tekanan inflasi mulai meningkat pada 2013, kami menjangka bank pusat itu bergerak menaikkan kadar keseluruhan 50 mata asas pada separuh kedua 2013 bagi menangani jangkaan inflasi," katanya.
#ekonomi malaysia #OSK-DMG Economic Research
;