Ekonomi Malaysia perlihat tanda positif pada Oktober 2023 - DOSM

Bernama
Disember 29, 2023 15:43 MYT
Mohd Uzir berkata, pertumbuhan ekonomi negara pada tiga suku pertama 2023 dan menunjukkan tanda positif pada Oktober diterajui oleh pengeluaran perindustrian dan jualan runcit. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia telah mengekalkan pertumbuhan positif sepanjang tiga suku pertama 2023 dan menunjukkan tanda positif pada Oktober, diterajui oleh pengeluaran perindustrian dan jualan runcit, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut DOSM, prestasi konsisten ini telah menyumbang kepada pertumbuhan 3.9 peratus dalam ekonomi bagi tempoh sembilan bulan pertama 2023, berbeza dengan pertumbuhan 9.2 peratus dalam tempoh sama pada 2022.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia memulih kepada pertumbuhan 2.7 peratus tahun ke tahun pada Oktober 2023, peningkatan ketara berbanding penurunan 0.5 peratus pada bulan sebelumnya.
"Ini merupakan peningkatan signifikan sejak Mei 2023, terutamanya didorong oleh prestasi kukuh sektor perlombongan.
"Pada masa yang sama, sektor elektrik dan pembuatan mengekalkan trend positif apabila masing-masing merekodkan peningkatan 5.8 peratus dan 0.9 peratus," katanya dalam kenyataan bagi Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 12/2023 di sini hari ini.
Bagaimanapun, sektor pembuatan mencatatkan penurunan nilai jualan sebanyak 1.4 peratus pada Oktober tahun ini, dipengaruhi oleh kejatuhan berterusan dalam subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik yang mengalami penyusutan 9.5 peratus.
Bagi sektor perdagangan borong dan runcit, nilai jualan bulanan pada Oktober 2023 mencecah RM142.3 bilion, peningkatan 6.5 peratus tahun ke tahun, didorong terutamanya oleh subsektor perdagangan borong yang berkembang 5.7 peratus atau RM3.4 bilion kepada RM63.3 bilion.
Sementara itu, subsektor kenderaan bermotor mencatatkan kadar pertumbuhan 19.1 peratus (+RM3.0 bilion) dan subsektor perdagangan runcit tumbuh 3.9 peratus (+RM2.3 bilion), katanya.
Dari segi inflasi, Mohd Uzir berkata Malaysia mengalami kenaikan inflasi sebanyak 1.8 peratus pada Oktober 2023, menandakan kadar terendah sejak April 2021 dengan indeks mencapai 130.9 berbanding 128.6 pada bulan sama tahun sebelumnya
"Pada November 2023, inflasi Malaysia terus meningkat secara sederhana, mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan 1.5 peratus, dengan meraih mata indeks 130.9 berbanding 129.0 pada bulan sama tahun sebelumnya.
"Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia susut 0.3 peratus pada Oktober 2023. Pada November 2023, IHPR merekodkan negatif 1.5 peratus," katanya.
Dari segi perdagangan, Mohd Uzir berkata jumlah perdagangan Malaysia susut 2.4 peratus tahun ke tahun kepada RM239.5 bilion pada Oktober 2023.
Eksport menunjukkan penurunan 4.4 peratus yang mencecah RM126.2 bilion, manakala import mengalami penyusutan marginal 0.2 peratus kepada RM113.3 bilion.
Oleh itu, lebihan dagangan kekal pada RM12.9 bilion, penurunan 30.3 peratus daripada tahun sebelumnya, kata Mohd Uzir.
Beliau berkata pasaran buruh Malaysia pula menunjukkan pertumbuhan tahunan 2.0 peratus bagi bilangan penduduk bekerja, mencecah 16.40 juta orang pada Oktober 2023.
"Kadar penyertaan tenaga buruh untuk Oktober 2023 adalah 70.1 peratus, mencatatkan peningkatan 0.4 mata peratus daripada 69.7 peratus pada Oktober 2022.
"Pada masa sama, kadar pengangguran turun 0.2 mata peratus kepada 3.4 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya," katanya.
Sementara itu, Indeks Pelopor menunjukkan penurunan tahun ke tahun sebanyak 0.2 peratus kepada 109.2 mata daripada 109.4 mata pada tahun sebelumnya.
-- BERNAMA
#ekonomi malaysia #Jabatan Perangkaan Malaysia #Mohd Uzir Mahidin #DoSM
;