Ekonomi Malaysia mampu capai 'V-shape', tetapi usah terlalu yakin - Penganalisis
Fauzi Suhaimi
Julai 6, 2020 18:16 MYT
Julai 6, 2020 18:16 MYT
'Kedudukan pemulihan ekonomi negara dilihat mampu berada dalam keadaan 'V-shape', namun jangan terlalu yakin.'
Itu pandangan penganalisis dan Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari.
Menurutnya, sasaran itu mungkin tidak akan tercapai sekiranya kerajaan gagal melaksanakan tiga aspek utama yang dirangka dalam pemulihan ekonomi.
"Tiga aspek tersebut meliputi jumlah dana rangsangan yang disuntik dalam ekonomi, keberkesanan program atau pakej rangsangan yang dilaksanakan dalam pembentukan ekonomi serta bentuk pembukaan semula ekonomi selepas COVID-19.
"Ramai penganalisis berpandangan situasi terbaik dan ideal dalam tempoh pemulihan ekonomi selepas COVID-19 adalah dalam bentuk V-Shape.
"Namun, jika ketiga-tiga aspek yang diketengahkan itu mampu dilaksanakan dengan baik dan berkesan, tidak mustahil untuk negara mencapai kedudukan ekonomi yang baik seperti V-Shape atau 'Nike' dalam tempoh pemulihan selepas pandemik itu," katanya menerusi temubual dalam Buletin AWANI di sini pada Isnin.
Sebelum ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz manzahirkan keyakinan bahawa ekonomi Malaysia mampu pulih pada kadar lebih pantas selepas disokong penstrukturan yang utuh.
Mengulas lanjut, Mohd Yusof yang juga Sektretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) berkata, pemulihan ekonomi itu juga didorong pelaksanaan pembaharuan yang menyebabkan ekonomi bergerak lebih pantas.
"Bagaimanapun negara juga tidak boleh duduk selesa dengan kejayaan ini kerana masih ada sebahagian kecil rakyat termasuk perindustrian kecil dan sederhana (PKS) masih memerlukan bantuan.
"Sehubungan itu, pakej rangsangan yang melebihi RM250 bilion itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya termasuk saluran dana sampai kepada golongan sasar selain program yang memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi negara," jelasnya lagi.
#COVID-19
#ekonomi
#kerajaan
#koronavirus
#Malaysia
#menteri
#pandemik
#pembukaan semula ekonomi
#PKS
#rakyat