Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.5 peratus tahun depan

Bernama
Disember 18, 2017 17:29 MYT
Malaysia diunjur mencatat momentum pertumbuhan ekonomi secara sederhana pada tahun depan. - Gambar hiasan
Malaysia diunjur mencatat momentum pertumbuhan ekonomi secara sederhana pada tahun depan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang pada 5.5 peratus, kata Ketua Pakar Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Dr Kamaruddin Mohd Nor.
Beliau berkata, walaupun unjuran itu rendah sedikit berbanding unjuran 5.8 peratus bagi tahun ini, ia masih dilihat sebagai angka yang baik dan penyederhanaan itu adalah disebabkan oleh kesan asas yang tinggi pada 2017.
"Tahun depan diunjur mencatat perkembangan sederhana dan ini seiring jangkaan keadaan pertumbuhan global yang sama.
"Pihak Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) telah membuat unjuran perdagangan global akan rendah sedikit pada tahun depan iaitu pada 3.2 peratus berbanding 3.6 peratus tahun ini. Malah, ini merupakan antara faktor yang akan memberi kesan kepada ekonomi kita," katanya pada sesi taklimat media mengenai unjuran pasaran dan ekonomi bagi 2018, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Kamaruddin berkata MIDF menjangkakan aliran perbelanjaan yang memberangsangkan, khususnya dalam kalangan pengeluar di China yang merupakan ekonomi kedua terbesar dunia, berkemungkinan memberi kesan limpahan positif ke atas Malaysia.
"Pegawai-pegawai China telah menyasarkan pertumbuhan perdagangan negara itu pada 6.5 peratus bagi 2017 namun ia telah mencecah purata 6.8 peratus bagi suku pertama 2017.
"Kami menjangkakan pertumbuhan KDNK China mencecah 6.7 peratus bagi 2018 dan ini amat bersesuaian dengan prestasi ekonomi domestik. Ini berikutan perdagangan kita dengan China yang menyumbang kira-kira 16 dan 17 peratus daripada jumlah dagangan Malaysia," katanya.
Mengulas prestasi ringgit, Kamarudin berkata sebarang kenaikan baharu kadar faedah yang akan diumumkan oleh pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) pada 2018 akan memberi kesan kepada kadar pertukaran dolar dengan unit tempatan itu.
Kamaruddin mengunjurkan ringgit akan diniagakan pada 3.95 berbanding dolar AS menjelang akhir 2018 berbanding paras 4.05 pada penghujung 2017.
Beliau turut menjangkakan pihak Bank Negara Malaysia bertindak menaikkan kadar faedah sebanyak 0.25 mata asas kepada 3.25 peratus berbanding 3.00 peratus ketika ini.
Sementara itu, Ketua Jabatan Penyelidikan MIDF, Mohd Redza Abdul Rahman pula menjangkakan pasaran ekuiti akan mencatat jumlah dagangan saham-saham bermodal kecil dan sederhana yang meningkat Bursa Malaysia manakala Indeks FBMKLCI diunjur mencecah paras 1,900 pada tahun depan.
"Pada tahun ini misalnya, peningkatan pasaran adalah dijangkakan dan mudah tunai masih di paras lebih baik dengan aliran dana ketika ini sekitar RM10 bilion.
"Kami menyasarkan pendapatan akan kembali meningkat pada tahun depan, terutamanya sektor perbankan yang menikmati wajaran tinggi ketika ini," katanya
-- BERNAMA
#Amanah Investment Bank Bhd #Amerika Syarikat #AS #bank #Bank Negara #Bank Negara Malaysia #Bursa Malaysia #China #Dr Kamaruddin Mohd Nor #ekonomi #MIDF #pertumbuhan ekonomi #ringgit
;