Ekonomi Malaysia dijangka pulih beransur-ansur dengan Pelan Pemulihan Negara

Bernama
Jun 16, 2021 17:38 MYT
Firma penyelidikan itu berkata ekonomi dijangka terus disokong oleh industri pembuatan terutamanya daripada sektor eksport memandangkan permintaan luar yang berterusan.
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka pulih beransur-ansur ketika negara beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Julai dan Ogos dan fasa ketiga pada September dan Oktober, dengan lebih banyak sektor dibenarkan menyambung semula operasi, kata Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu berkata ekonomi dijangka terus disokong oleh industri pembuatan terutamanya daripada sektor eksport memandangkan permintaan luar yang berterusan.
Selain itu, kebanyakan subsektor utama (eletrik dan elektronik, sarung tangan getah) dibenarkan beroperasi walaupun pada kapasiti yang berkurangan.
"Walaupun sektor runcit kekal berada dalam tekanan dalam tempoh terdekat ini berikutan sekatan pergerakan dan penutupan operasi kedai-kedai bukan penting, impaknya dijangka tidaklah begitu teruk apabila pengguna dan perniagaan telahpun lebih bersiap sedia dengan peralihan kepada platform jualan dalam talian," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Kenanga Research juga berkata program vaksinasi COVID-19 yang semakin giat dijalankan sekarang juga merupakan faktor utama dalam pelan tindakan pembukaan semula ekonomi Malaysia.
Pada 15 Jun, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelan pemulihan negara, strategi keluar daripada krisis COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berfasa, yang akan dilaksanakan dari Jun hingga Disember 2021.
"Yang penting adalah hakikat ia mengambil kira purata kes harian jangkitan dan peratusan daripada penduduk yang telah menerima vaksin sebagai kayu pengukur untuk menilai kemajuan," katanya.
Ini akan membantu memastikan pemulihan jangka panjang dengan memberi keutamaan untuk mencapai imuniti kelompok negara, di samping juga melindungi kesihatan awam.
"Bagaimanapun, impak ekonomi daripada sekatan pergerakan yang berterusan adalah besar dengan perdana menteri menyatakan bahawa PKP 3.0 sekarang menyebabkan negara kerugian RM1.0 bilion sehari.
"Namun begitu, pakej fiskal PEMERKASA Tambahan bernilai RM40 bilion dan sasaran untuk meluaskan pembukaan semula ekonomi seawal Julai sepatutnya membantu membendung impak negatif ke atas pemulihan ekonomi Malaysia," katanya.
Kenanga Research berkata ia mengekalkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) antara 5-6 peratus meskipun selepas pengumuman pelan pemulihan tersebut.
"Setakat ini, kerajaan telah mengumumkan suntikan fiskal langsung bernilai RM71 bilion (4.6 peratus daripada KDNK) daripada sejumlah RM368.6 bilion (25.7 peratus daripada KDNK) pakej rangsangan sejak pandemik itu melanda tahun lepas," katanya.
Akhir sekali, ia berpandangan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia mungkin terjejas oleh kemungkinan pergolakan politik tempatan memandangkan parlimen mungkin bersidang semula pada September atau Oktober, sekiranya situasi COVID-19 terkawal.
"Seterusnya, sekiranya situasi politik memburuk ia mungkin akan menjejaskan pembentangan Belanjawan 2022 negara," kata firma penyelidikan itu.
Setakat 15 Jun, Kementerian Kesihatan melaporkan sejumlah 667,876 kes positif dan 4,069 kematian dengan lebih 57.0 peratus atau 2,347 kematian direkodkan sejak pelaksanaan PKP 3.0 pada 12 Mei.
-- BERNAMA
#Pelan Pemulihan Negara #Pulih #ekonomi negara #fasa kedua #Julai #Kenanga Research
;