Ekonomi Malaysia dijangka lebih baik pada separuh kedua 2016 - ASLI
Bernama
Julai 25, 2016 16:20 MYT
Julai 25, 2016 16:20 MYT
Ekonomi Malaysia dijangka lebih baik semasa separuh kedua tahun ini dipacu peningkatan sentimen ke arah persekitaran ekonomi keseluruhan, demikian menurut Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI).
Ketua Pegawai Eksekutif ASLI, Tan Sri Michael Yeoh, berkata penurunan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) akan meningkatkan keyakinan perniagaan dan menggalakkan pertumbuhan pinjaman lebih pantas.
BNM menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus pada 13 Julai, 2016.
Yeoh berkata ekonomi diunjur berkembang antara 4.2 peratus dan 4.5 peratus tahun ini.
"Separuh pertama tahun ini mungkin dipengaruhi ketidaktentuan ekonomi global, kemudian ditambah dengan pungutan suara Britain keluar daripada Kesatuan Eropah -- Brexit.
"Banyak perniagaan optimis dengan separuh kedua tahun ini," katanya kepada pemberita ketika sidang media mengenai Forum Kepimpinan ASEAN kali ke-13 di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Korporat Axiata Group Bhd, Mohd Idham Nawawi.
Mengenai sama ada kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) perlu dikurangkan atau sebaliknya, Yeoh berkata, kadar semasa enam peratus sewajarnya dikekalkan buat masa sekarang memandangkan semakan semula akan memburukkan lagi ketidaktentuan pasaran.
"Saya berpendapat kadar itu adalah munasabah berbanding negara jiran kita. Perniagaan telah mengambil kira GST dalam proses perancangan perniagaan mereka. Para pengguna pula telah menerima GST," katanya.
Sementara itu, Yeoh berkata, Forum Kepimpinan ASEAN kali ke-13 itu akan membincangkan pelbagai cabaran, termasuk kepimpinan bagi ASEAN dan rundingan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
"ASEAN memerlukan kepimpinan penuh keberanian dan strategik daripada kerajaan, perniagaan dan masyarakat awam. Saya sentiasa mengingatkan kepada para pegawai mengenai keperluan mengukuhkan perpaduan dalam ASEAN," katanya.
ASLI, Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Laos serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Laos akan menganjurkan Forum Kepimpinan ASEAN kali ke-13 di Vientiane pada 6 dan 7 Ogos, 2016.
Perdana Menteri Laos, Dr Thongloun Sisoulith, akan menyampaikan ucapan perasmian pada hari pertama forum berkenaan.
Forum Kepimpinan ASEAN merupakan platform tahunan peringkat tinggi, menghimpunkan para pemimpin kerajaan, perniagaan, akademik dan masyarakat awam untuk berbincang memperincikan cabaran, aliran penting, isu strategik dan peluang di rantau Asia Tenggara.
Axiata akan menjadi penaja utama forum berkenaan. Penajaan kali ini adalah tahun ketujuh bagi syarikat konglomerat telekomunikasi itu.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, merupakan antara dua penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada forum itu.