Ekonomi Malaysia dijangka lebih baik, disokong permintaan domestik dan pasaran buruh
Bernama
Februari 29, 2024 16:50 MYT
Februari 29, 2024 16:50 MYT
KUALA LUMPUR: Prestasi ekonomi Malaysia dijangka lebih baik pada masa depan, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan pasaran buruh yang stabil, kata Jabatan Perangkaan (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata Indeks Pelopor (IP) menunjukkan pemulihan positif dengan pertumbuhan 0.3 peratus untuk mencapai 110.1 mata pada Disember 2023, berbanding 109.8 mata dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Beliau berkata ekonomi Malaysia berkembang 3.0 peratus pada suku keempat 2023, kadar lebih perlahan berbanding pertumbuhan 3.3 peratus pada suku tahun sebelumnya.
"Pada suku keempat 2023, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) menunjukkan peningkatan sebanyak 1.0 peratus berbanding negatif 0.05 peratus pada suku ketiga 2023.
"Bagaimanapun dari segi nilai jualan, sektor pembuatan menunjukkan penyusutan 2.7 peratus tahun ke tahun untuk mencecah RM461.5 bilion.
"Selain itu, hasil sektor perkhidmatan menunjukkan pertumbuhan ketara 6.6 peratus pada suku keempat 2023 dan melonjak kepada RM591.4 bilion dalam suku keempat 2023," katanya dalam kenyataan media Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 2/2024 yang dikeluarkan hari ini.
Mohd Uzir berkata Indeks Volum Perkhidmatan menunjukkan peningkatan sebanyak 4.1 peratus kepada 148.5 mata berbanding suku sama pada tahun lepas.
Dari segi sektor luar, beliau berkata eksport Malaysia susut 6.9 peratus kepada RM366.3 bilion manakala import menokok 1.3 peratus kepada RM329.3 bilion.
"Bagi prestasi pasaran tenaga kerja, jumlah guna tenaga tumbuh mampan 2.5 peratus tahun ke tahun, mencatat 16.35 juta orang dalam suku keempat 2023 manakala kadar pengangguran pada 3.3 peratus," katanya.
Dalam pada itu, Indeks Harga Pengguna meningkat sebanyak 1.6 peratus dalam suku keempat 2023 manakala Indeks Harga Pengeluar susut 1.0 peratus berbanding suku sama pada tahun sebelumnya.
-- BERNAMA