Ekonomi Malaysia dijangka kekal sederhana dalam persekitaran cabaran luaran
Bernama
November 18, 2024 15:11 MYT
November 18, 2024 15:11 MYT
KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka kekal sederhana hingga akhir 2024, berikutan permintaan luaran yang lemah dan ketidaktentuan dasar global yang berterusan, kata Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).
Ia mengekalkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar 2024 pada 5.0 peratus tahun ke tahun.
HLIB turut menjangkakan kadar pertumbuhan yang sama bagi 2025, disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang kukuh dan aktiviti pelancongan, di samping langkah meningkatkan pendapatan seperti kenaikan gaji penjawat awam, peningkatan gaji minimum dan pengeluaran Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Pemulihan aktiviti eksport yang berterusan juga dijangka akan menyokong pertumbuhan, Selain itu, kemajuan berterusan dalam projek berbilang tahun dan cadangan pelaburan yang sihat akan menyokong pertumbuhan," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Bagi pertumbuhan ekonomi suku akan datang, Public Investment Bank Bhd (PIB) mengunjurkan ia dipacu oleh aktiviti pelaburan yang teguh dan penggunaan isi rumah yang berdaya tahan, disokong oleh prestasi eksport.
Bank itu berkata aktiviti pelaburan ekonomi mungkin mendapat tarikan daripada pelaksanaan projek infrastruktur berbilang tahun dalam sektor awam dan swasta, di samping inisiatif pemangkin di bawah pelan pembangunan negara dan peningkatan realisasi pelaburan yang diluluskan.
"Penggunaan swasta dijangka kekal teguh, didorong oleh pertumbuhan pendapatan yang mampan dan pelancaran langkah dasar yang dipertingkatkan, seterusnya memperkukuh permintaan dalam negeri.
"Dari segi luaran, eksport dijangka mendapat manfaat daripada limpahan positif daripada pemulihan teknologi global, manakala sektor pelancongan dijangka menyaksikan momentum berterusan dengan peningkatan ketibaan pelancong dan peningkatan tahap perbelanjaan," katanya.
Maybank Investment Bank Bhd bagaimanapun menyemak turun unjuran pertumbuhan 2025 kepada 4.9 peratus daripada 5.1 peratus, berikutan peningkatan ketidaktentuan luaran susulan kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Ia berkata faktor risiko terbesar kepada prospek pertumbuhan ialah dasar perdagangan AS kerana "Trump 2.0" dijangka mengenakan tarif yang lebih tinggi ke atas semua import dari China dan global.
"Di dalam negeri, kami melihat "kitaran menaik pelaburan" untuk Malaysia adalah utuh, disokong oleh pelaksanaan pelaburan yang diluluskan serta projek dan inisiatif di bawah Ekonomi MADANI," katanya.
-- BERNAMA