Ekonomi Malaysia catat pertumbuhan KDNK 5 peratus suku pertama 2022

Hasimi Muhamad
Mei 13, 2022 12:43 MYT
Nor Shamsiah menambah inflasi teras dijangka meningkat kepada purata antara 2.0 peratus dan 3.0 peratus pada tahun ini - Astro AWANI / Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 5.0 peratus pada suku pertama 2022, berbanding 3.6 peratus pada suku keempat 2021.
Pertumbuhan ini disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik.
Selain itu, pemulihan dalam pasaran buruh; pertumbuhan berterusan dalam permintaan luar; serta sokongan dasar yang berterusan.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata dari segi penawaran, sektor perkhidmatan dan perkilangan terus memacu pertumbuhan ekonomi dengan masing-masing berkembang sebanyak 6.5 peratus dan 6.6 peratus pada suku sama.
Ekonomi dalam negeri juga katanya, dijangka terus bertambah baik tahun ini, dengan pertumbuhan diunjurkan antara 5.3 peratus hingga 6.3 peratus seperti yang diumumkan pada Mac lalu.
Unjuran tersebut disokong oleh permintaan dalam negeri yang lebih kukuh, permintaan luaran yang terus berkembang dan pasaran pekerja yang terus bertambah baik.
“Pertumbuhan juga akan menerima manfaat daripada pelonggaran sekatan, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan pelaksanaan projek pelaburan.
“Walau bagaimanapun, risiko terhadap momentum pertumbuhan Malaysia masih wujud. Risiko ini termasuk pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang semakin meruncing, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk, perkembangan buruk berhubung dengan COVID-19 dan volatiliti pasaran kewangan yang meningkat,” katanya di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pengumuman KDNK suku pertama 2022, bersama Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.
Mengulas lanjut, Nor Shamsiah berkata kadar pengangguran terus menurun kepada 4.1 peratus berbanding 4.3 peratus pada suku keempat 2021.
Sementara itu, inflasi keseluruhan diunjurkan berpurata antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus dalam persekitaran kos input yang tinggi dan permintaan yang bertambah baik.
Nor Shamsiah menambah inflasi teras dijangka meningkat kepada purata antara 2.0 peratus dan 3.0 peratus pada tahun ini.
Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, turut dijangka meningkat pada tahun ini dengan mencatatkan purata antara 2.0 peratus hingga 3.0 peratus.
“Beberapa faktor penting dijangka membendung sebahagian daripada tekanan harga menaik, iaitu langkah-langkah kawalan harga yang sedia ada dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.
“Meskipun begitu, prospek inflasi terus bergantung pada perkembangan harga komoditi, yang berpunca terutamanya daripada konflik ketenteraan di Ukraine dan gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan,” ujarnya lagi.
#Bank Negara Malaysia #GDP #KDNK suku pertama 2022 #ekonomi
;