Ekonomi Malaysia bukan dalam krisis - Gabenor BNM
Bernama
Oktober 3, 2022 18:31 MYT
Oktober 3, 2022 18:31 MYT
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia tidak berada dalam krisis dan trajektori pertumbuhannya kekal positif, tetapi perlu melakukan pembaharuan untuk menjadikan negara yang ekonominya berasaskan inovasi, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Gabenor Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunos berkata, asas ekonomi dan sistem kewangan adalah kukuh dan langkah awal telah diambil bagi menangani persekitaran luaran yang mencabar.
"Ini adalah fakta penting mengenai ekonomi dan sebagai rakyat Malaysia, adalah penting untuk kita bertindak dengan cara yang sewajarnya tanpa menjejaskan pemulihan dan keyakinan pelabur yang boleh menyebabkan sesuatu yang tidak benar akhirnya dipercayai," kata beliau berucap di Khazanah Megatrends Forum 2022 di sini hari ini.
Dalam ucapannya yang bertajuk "Navigating Malaysia's Economic Transition in a Post-COVID World", beliau berkata pemulihan ekonomi negara berjalan dengan baik dan pertumbuhan tahun ini dijangka kukuh.
Inflasi kata beliau, dijangka memuncak pada suku ketiga tahun ini, yang sebahagian besarnya disebabkan oleh bekalan dan juga permintaan yang kukuh selaras dengan pembukaan semula ekonomi.
"Tekanan menaik terhadap inflasi akan kekal sebahagiannya dikawal oleh kawalan harga sedia ada
"Tekanan inflasi akan kekal naik dengan sebahagiannya akan terus disekat oleh kawalan harga sedia ada dan lebihan kapasiti yang masih wujud dalam ekonomi,'' tambah beliau.
Beliau menyatakan unjuran pada tahun depan akan menjadi lebih mencabar disebabkan oleh gabungan faktor-faktor seperti konflik dan ketegangan geopolitik yang meningkat, tekanan iflasi global dan pasaran kewangan yang tidak menentu.
"Ini semua akan membawa kepada pertumbuhan yang lebih perlahan pada tahun depan," kata beliau.
Membandingkan situasi semasa dengan pandemik baru-baru ini dan Krisis Kewangan Asia, Nor Shamsiah berkata ekonomi Malaysia jelas berada pada kedudukan yang lebih kukuh hari ini berdasarkan momentum pertumbuhan yang teguh, kadar pengangguran yang lebih rendah, permodalan institusi kewangan yang baik dan ekonomi yang lebih pelbagai.
"Ini telah menyebabkan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) secara beransur-ansur melaraskan kadar dasar semalaman (OPR) pada Mei, Julai dan September tahun ini, katanya.
Menurut beliau, MPC tidak dikekang oleh laluan yang telah ditetapkan untuk OPR dan pelarasan kepada kadar faedah utama akan dilakukan secara beransur-ansur dan terukur.
Namun begitu katanya, mengekalkan kadar terlalu rendah untuk masa yang lama seperti di negara lain, boleh mengakibatkan gangguan dan ketidakseimbangan, mencetuskan tekanan inflasi dan melemahkan mata wang.
Nor Shamsiah menegaskan Malaysia perlu sekali lagi melaksanakan pembaharuan yang mengubah sepenuhnya ekonomi bagi menjamin masa depan yang lebih makmur dan mampan dalam menghadapi ketidaktentuan dan cabaran di masa depan.
Beliau berkata Malaysia perlu bercita-cita untuk menjadi ekonomi berasaskan inovasi, berubah daripada model ekonomi berasaskan pengurangan kos (model kos rendah) kepada pemaksimuman premium.
Usaha ke arah mencapai cita-cita itu telah pun bermula, apabila kerajaan menetapkan strategi utama dalam dasar-dasar negara seperti Rancangan Malaysia Ke-12 dan Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0, katanya.
"Cabarannya ialah mengubah rancangan dan rangka tindakan ini kepada perbuatan dan hasilnya. Bagi kami ialah meningkatkan asas kami sebagai ekonomi yang berinovasi, kami perlu meneruskan pembaharuan untuk mengukuhkan asas-asas idea, pelaburan berkualiti, bakat, dan kedinamikan pasaran untuk memastikan pengagihan sumber yang cekap," tambahnya.
Semasa mengakhiri ucapannya, Nor Shamsiah berkata tempoh satu hingga dua tahun akan datang menjadi penting untuk Malaysia bagi mengorak langkah ke hadapan dengan berani.
Beliau berkata negara kini mestilah menumpukan kepada pengukuhan asas ekonomi, daya tahan dan fleksibiliti.
"Jiran kita di rantau ini sedang giat meneruskan langkah-langkah pembaharuan. Kita akan ketinggalan jika tidak bertindak sekarang.
"Sejarah adalah pengajaran. Kita telah berkali-kali, melakukan apa yang perlu bagi berubah untuk berada di kedudukan yang lebih tinggi. Saya pasti kali ini tiada bezanya," tambah beliau.
-- BERNAMA