Ekonomi Malaysia berkembang lebih sederhana tahun ini - Jabatan Perangkaan

Bernama
Februari 28, 2023 13:24 MYT
Mohd Uzir berkata, perdagangan barangan Malaysia diramalkan terus berkembang pada 2023, walaupun pada kadar yang lebih perlahan.- Fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar yang lebih sederhana tahun ini, berikutan pemulihan yang kukuh pada 2022 meskipun ekonomi dunia masih bergelut untuk mengekalkan pertumbuhan dan trajektorinya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata perdagangan barangan Malaysia diramalkan terus berkembang pada 2023, walaupun pada kadar yang lebih perlahan.
"Berdasarkan Tinjauan Ekonomi Kementerian Kewangan 2023, jumlah perdagangan, eksport dan import diunjurkan masing-masing meningkat 1.3 peratus, 2.2 peratus dan 0.2 peratus. Unjuran ini adalah sejajar dengan anggaran Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), yang menjangkakan perdagangan global berkembang perlahan iaitu 1.0 peratus pada 2023.
"Berikutan permintaan luaran yang lebih perlahan dan pengurangan kesan asas rendah, Sektor Pembuatan juga dijangka memasuki fasa sederhana pada 2023. Ketidaktentuan global yang berterusan juga dijangka mempengaruhi aktiviti ekonomi dan sosial serta pasaran buruh," katanya.
Tambahnya, Mohd Uzir berkata Indeks Pelopor (IP) Malaysia menyusut 0.6 peratus, bersamaan 0.7 mata kepada 110.7 mata pada Disember 2022 berbanding 111.4 mata pada Disember 2021.
Melihat kepada senario ekonomi global, Jabatan Perangkaan berkata inflasi yang berterusan di seluruh dunia telah menghakis kuasa beli dan pengguna mengambil sikap berhati-hati terhadap perbelanjaan, seterusnya memberi kesan kepada prestasi ekonomi.
"Berdasarkan Tinjauan Ekonomi Dunia terkini yang dikeluarkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Januari 2023, ekonomi dunia diunjurkan menyederhana kepada 2.9 peratus pada 2023 danbertambah baik kepada 3.1 peratus pada 2024.
"Sementara itu, kebanyakan ekonomi menunjukkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih perlahan pada suku keempat 2022 berbanding suku ketiga 2022," katanya.
-- BERNAMA
#ekonomi malaysia #Jabatan Perangkaan Malaysia #KDNK #Mohd Uzir Mahidin
;