Ekonomi Malaysia berkembang 4.5 peratus pada suku keempat 2016

Najib Aroff
Februari 16, 2017 12:48 MYT
Inflasi meningkat kepada 1.7 peratus pada suku keempat 2016, kata BNM. - Gambar hiasan
Ekonomi Malaysia berkembang 4.5 peratus suku keempat 2016 berbanding 4.3 peratus suku sebelumnya disokong oleh peningkatan berterusan dalam perbelanjaan sektor swasta.
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan, permintaan domestik tumbuh sederhana dipacu peningkatan aktiviti penggunaan dan pelaburan swasta.
Pada suku keempat, penggunaan swasta meningkat 6.2 peratus disokong oleh pertumbuhan upah dan guna tenaga yang berterusan.
Pelaburan swasta pula mencatat peningkatan 4.9 peratus, berikutan perbelanjaan modal yang berterusan dalam sektor perkhidmatan dan perkilangan.
Bagi sektor luaran, bank pusat berkata eksport bersih menyumbang positif kepada pertumbuhan apabila eksport sebenar berkembang lebih pantas berbanding import sebenar.
Pada suku ke empat 2016, lebihan akaun semasa meningkat disebabkan terutamanya oleh lebihan perdagangan yang lebih tinggi dan defisit lebih kecil dalam akaun pendapatan.
Inflasi meningkat sederhana
Inflasi, seperti yang diukur oleh perubahan tahunan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP), meningkat kepada 1.7 peratus pada suku keempat 2016 berbanding 1.3 peratus suku sebelumnya, didorong terutamanya oleh pelarasan menaik terhadap harga bahan api dalam negeri pada suku itu.
Ringgit teruskan penyusutan
BNM berkata dari segi ringgit dan semua mata wang utama dan serantau menyusut nilai berbanding dolar Amerika pada suku keempat.
Penyusutan nilai didorong terutamanya oleh aliran keluar pelaburan portfolio daripada ekonomi sedang pesat membangun dalam keadaan ketidakpastian yang berbangkit daripada keputusan Pilihan Raya Presiden AS.
Jangkaan bahawa kadar faedah akan meningkat, kenaikan sebenar dalam kadar dasar Rizab Persekutuan (Fed) AS pada bulan Disember 2016, serta jangkaan bahawa kadar faedah AS akan kembali ke paras wajar dalam tempoh yang lebih cepat pada tahun 2017 memburukkan lagi aliran keluar portfolio dan terus menambah tekanan terhadap kebanyakan mata wang utama dan serantau.
Ringgit juga menghadapi pelarasan tambahan pada suku itu berikutan kegiatan spekulasi dalam pasaran kontrak hadapan tanpa serahan (NDF).
Namun BNM berkata, ringgit bersama-sama mata wang serantau, mulai stabil menjelang akhir suku keempat apabila pasaran kewangan global semakin stabil.
Selain itu pelaksanaan langkah-langkah untuk membangunkan, memperdalam dan menangani ketidakseimbangan yang semakin nyata dalam pasaran pertukaran asing domestik, dan harga minyak mentah dunia yang lebih kukuh juga menjadikan pasaran pertukaran asing domestik lebih stabil menjelang akhir suku tersebut.
Ujar BNM secara keseluruhan, ringgit menyusut nilai sebanyak 7.6 peratus berbanding dengan dolar AS pada suku keempat.
Tambah BNM , meskipun persekitaran luaran akan terus mencabar, ekonomi Malaysia akan mencatat pertumbuhan yang mampan dengan pemacu utamanya ialah permintaan dalam negeri.
#Bank Negara Malaysia #ekonomi malaysia #KDNK Malaysia #KDNK suku ke empat 2016