Ekonomi Malaysia berkembang 3.1 peratus pada tahun 2021 - Mohd Uzir
Astro Awani
Februari 11, 2022 13:56 MYT
Februari 11, 2022 13:56 MYT
KUALA LUMPUR : Ekonomi Malaysia tahun lalu berkembang pada 3.1 peratus, berbanding penguncupan 5.6 peratus pada tahun 2020.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, dalam masa sama berkata, prestasi ekonomi negara pada suku keempat mencatatkan pertumbuhan 3.6 peratus, disokong pemulihan dalam permintaan domestik dan pertumbuhan kukuh permintaan luar.
"Ini membawa kepada keseluruhan pertumbuhan ekonomi pada 2021 kepada 3.1 peratus. Pada asas bulanan, KDNK mencatat pertumbuhan positif pada bulan Oktober, di tengah-tengah langkah yang melonggarkan sekatan.
"Pada asas suku tahunan tambahan, KDNK berkembang pada fasa kukuh sebanyak 6.6 peratus. Dari segi penawaran, semua sektor mencatatkan peningkatan pada suku keempat," katanya semasa mengumumkan Prestasi Ekonomi Suku Keempat 2020 secara maya, yang turut dihadiri Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Prestasi ekonomi negara itu menepati unjuran rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu pertumbuhan antara 3 hingga 4 peratus bagi tahun 2021.
Kata Mohd Uzir lagi, prestasi ekonomi tahun lalu juga masih di bawah paras pra-pandemik 2019.
Bagaimanapun, prestasi ekonomi pada suku tahun keempat 2021 melepasi paras suku tahun keempat 2019 sebanyak 0.01 peratus.
Prestasi ekonomi pada suku keempat 2021 dari segi penawaran dipacu sektor pembuatan, perkhidmatan dan pertanian.