Ekonomi Malaysia berjaya sejak 8 tahun lepas walaupun hadapi pelbagai halangan - PM Najib

Bernama
Oktober 27, 2017 21:22 MYT
Najib berkata Malaysia berjaya mengukuhkan hubungan diplomatik dan perdagangannya dengan kuasa ekonomi terbesar dunia seperti China, India, Arab Saudi dan Amerika Syarikat. - Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Malaysia mencapai siri kejayaan ketara dalam pembangunan ekonomi sejak lapan tahun lepas meskipun berhadapan pelbagai cabaran luar seperti kejatuhan harga minyak mentah dunia dan ketegangan geopolitik antarabangsa.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa Malaysia tetap teguh dalam menguruskan kewangan negara, mengamalkan tadbir urus yang cekap dan disiplin fiskal yang berhemat.
Yang penting, perdana menteri menegaskan bahawa kedudukan ekonomi Malaysia teguh, dan bukan dalam krisis seperti yang dicanangkan oleh beberapa skeptis.
"Kita tidak sepatutnya tunduk kepada pembohongan dan propaganda tanpa henti di media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, yang mendakwa kononnya Bank Dunia telah mengeluarkan laporan negatif tentang ekonomi negara.
"Sebaliknya, Bank Dunia telah menyemak semula unjuran mereka bagi rantau Asia Timur dan Pasifik," kata Najib ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat hari ini.
Unjuran keluaran dalam negara kasar Malaysia disemak semula oleh Bank Dunia kepada 5.2 peratus bagi 2017, daripada 4.9 peratus sebelum itu.
Bank itu juga memuji prestasi ekonomi negara atas dasarnya yang boleh dipuji.
Najib berkata pada separuh pertama 2017, ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan mengagumkan sebanyak 5.7 peratus.
"Kerajaan juga mengunjurkan ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 5.7 peratus pada 2017, lebih tinggi daripada anggaran Mac daripada 4.3 peratus kepada 4.8 peratus," katanya.
Di samping itu, Najib berkata Malaysia berjaya mengukuhkan hubungan diplomatik dan perdagangannya dengan kuasa ekonomi terbesar dunia seperti China, India, Arab Saudi dan Amerika Syarikat.
Pelaburan swasta telah meningkat dengan ketara kepada lebih RM211 bilion berbanding RM81 bilion pada 2009.
Defisit fiskal negara juga dianggarkan menurun kepada tiga peratus daripada KDNK tahun ini, daripada 6.7 peratus pada 2009, hasil rancangan, strategi dan inisiatifsistematik dan teratur.
"Hasilnya, tiga agensi penarafan kredit antarabangsa berprestij telah mengekalkan penarafan mereka di Malaysia pada 'A' dengan prospek stabil
"Marilah kita semua bekerja keras untuk memastikan hasil yang memuaskan," katanya.
Najib, yang kelihatan bersemangat dalam Baju Melayu berwarna biru, juga menegaskan pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan selama lapan tahun lepas juga terbukti berjaya.
"Pada Ogos, eksport memuncak ke tahap tertinggi, melebihi RM80 bilion dan mencatatkan pertumbuhan dua digit.
"Pada masa ini, rizab antarabangsa berjumlah US$101.4 bilion atau RM428.7 bilion, yang mencukupi untuk membiayai 7.5 bulan import tertangguh berbanding US$21.7 bilion atau RM59.1 bilion, semasa Krisis Kewangan Asia pada 1997," katanya.
Laporan Tinjauan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2016 juga menekankan bahawa pendapatan per kapita telah meningkat daripada RM27,819 pada 2010 kepada RM40,713 pada 2017, dan dijangka meningkat lagi kepada RM42,777 pada 2018.
Pendapatan bulanan median juga meningkat kepada RM5,288 pada 2016 berbanding RM4,585 pada 2014, manakala pendapatan bulanan isi rumah B40, meningkat kepada RM3,000 daripada RM2,629 antara 2014 dan 2016.
Agihan pendapatan isi rumah di Malaysia juga bertambah baik dengan Indeks Gini berkurangan kepada 0.399 pada 2016, paras terendah dalam sejarah di Malaysia.
"Ini menggambarkan pengurangan jurang pendapatan ketika negara menuju pengagihan saksama," katanya.
- BERNAMA
#Dewan Rakyat #ekonomi #Najib Razak
;