Ekonomi Malaysia berada pada trajektori positif, disokong inisiatif makro kerajaan
Bernama
Jun 13, 2024 22:19 MYT
Jun 13, 2024 22:19 MYT
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berada pada trajektori positif, disokong oleh kelebihan geopolitik dan inisiatif makroekonomi kerajaan seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Pandangan ini dipersetujui oleh tokoh-tokoh bekas menteri, ahli parlimen dan ketua setiausaha perbendaharaan yang menyertai Simposium Sasana 2024, anjuran Bank Negara Malaysia, di sini, hari ini.
Satu sesi panel mengenai rasionalisasi subsidi dan transformasi ekonomi, yang menampilkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Datuk Johan Mahmood Merican, Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar dan pro-naib canselor penglibatan luar Universiti Taylor Dr Ong Kian Ming, diadakan hari ini sebagai sebahagian daripada penganjuran simposium dua hari itu.
Sesi itu dimudahcarakan oleh pengarah urusan Watchtower Advisory, Shahril Hamdan.
Semasa sesi tersebut Ong mengetengahkan tentang usaha padu Malaysia, antara lainnya seperti yang dilihat menerusi inisiatif Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dalam menarik dan menyetempatkan pelaburan.
"Ini walaupun terdapat cabaran dalam pembaharuan institusi, termasuk pembaharuan buruh, perbelanjaan kerajaan dan isu berkaitan pemerolehan dan subsidi," katanya.
Beliau juga menekankan keperluan untuk meningkatkan penyelarasan dan sentiasa konsisten dalam ekosistem yang lebih luas, termasuk Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, selaras dengan aspirasi perdana menteri dan hala tuju Kementerian Kewangan.
"Saya harap kita dapat bekerjasama untuk melaksanakan pembaharuan institusi yang diperlukan supaya kita boleh berkembang sebagai sebuah negara dan mudah-mudahan terlepas daripada perangkap pendapatan sederhana," kata Ong.
Sementara itu, Abdul Wahid berkata, kerajaan perlu terus berada di landasan dan melaksanakan perubahan yang diperlukan.
"Saya fikir adalah penting bagi kerajaan yang ingin melakukan perkara yang baik untuk mempunyai ketabahan dan mengekalkan kemajuan yang berterusan.
"Kerajaan perlu berkomunikasi (dengan berkesan) dan satu-satunya cara adalah dengan menunjukkan tindakan sebenar dan hasil tindakan itu," katanya.
-- BERNAMA