Ekonomi Malaysia bakal pulih dengan sokongan eksport - FMM
Bernama
Mac 27, 2024 04:45 MYT
Mac 27, 2024 04:45 MYT
KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) percaya ekonomi negara bakal mencatatkan pemulihan kukuh dengan sokongan daripada eksport.
Presidennya Tan Sri Soh Thian Lai dalam satu kenyataan berkata ini dapat dilihat menerusi data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) yang memberi isyarat bahawa aktiviti pembuatan kembali rancak dan berada di landasan untuk mencatatkan pemulihan beransur-ansur.
Menurutnya, ketika lonjakan dalam import pengantara membayangkan pemulihan eksport, ledakan pelancongan dan peningkatan momentum pelaburan juga akan turut memberi sokongan.
"Separuh kedua 2024 dijangka mencatatkan prestasi lebih baik apabila keadaan monetari global mula mengendur.
"Bank pusat negara maju dijangka mengurangkan kadar faedah pada separuh kedua 2024. Oleh itu, kadar pertukaran ringgit dijangka mengakhiri tahun 2024 pada kedudukan yang lebih kukuh," katanya sambil menambah bahawa tidak ada keperluan untuk menambat unit tempatan itu.
Menurutnya, liputan rizab asing Malaysia mencukupi dan baki akaun semasa kekal dalam lebihan.
FMM mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia berada di bawah daripada unjuran rasmi 4 hingga 5 peratus pada 2024.
Soh berkata penggunan swasta dijangka perlahan manakala inflasi melantun semula.
"Perbelanjaan pengguna dijangka lebih terhad pada 2024 dengan kenaikan kadar cukai perkhidmatan dan program rasionalisasi subsidi kerajaan, yang akan memberi tekanan terhadap inflasi dan kos hidup," katanya.
-- BERNAMA