Ekonomi Malaysia antara yang terbaik di dunia – Tengku Zafrul

Khalis Khadir
Oktober 1, 2024 18:17 MYT
Tengku Zafrul berucap ketika merasmikan Hari Terbuka Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang turut disertakan pelancaran Laporan Kelestarian MITI 2023 pada Selasa. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia yang mampan menjadikan Malaysia antara beberapa negara di dunia yang menunjukkan pertumbuhan pantas terutama ketika ketidaktentuan ekonomi global.

Ringkasan AI
  • Pertumbuhan Ekonomi: Ekonomi Malaysia menunjukkan pertumbuhan pesat dan mampan, dengan mata wang ringgit mengukuh 12% berbanding dolar Amerika Syarikat dalam suku ketiga tahun ini.
  • Sokongan kepada PMKS: Kerajaan fokus meningkatkan peluang pekerjaan dan menawarkan gaji lebih tinggi, serta menyediakan peluang perniagaan kepada Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).
  • Inisiatif Hijau: Kerajaan mengumumkan pengecualian cukai jalan dan rebat sehingga RM2,400 untuk pembelian motosikal elektrik bagi menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik dan menyokong mobiliti hijau.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ia terbukti melalui mata wang ringgit yang mengukuh 12 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat dalam suku ketiga tahun ini.
“Ekonomi Madani yang mantap dan hala tuju jelas menjadikan Malaysia antara beberapa negara di dunia yang ekonominya berkembang dengan baik. Alhamdulillah mata wang ringgit juga mengukuh 12 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat dalam suku pertama tahun ini.
“Namun apa yang paling penting adalah pertumbuhan ini dirasai oleh rakyat terutama kepada Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) dan inilah fokus dasar kerajaan iaitu meningkatkan peluang pekerjaan dengan menawar gaji lebih tinggi selain sedia peluang perniagaan kepada PMKS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Terbuka Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang turut disertakan pelancaran Laporan Kelestarian MITI 2023, di sini, pada Selasa.
Tengku Zafrul berkata, laporan itu akan memastikan industri mendapat akses kepada pasaran lestari, meningkatkan kecekapan pengurusan sumber, mengukuhkan tadbir urus dan mencapai sasaran sifar bersih negara.
Menyedari keterbatasan pasaran domestik, beliau menyeru pihak PMKS untuk memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) agar produk mereka menembusi pasaran antarabangsa.
“Pasaran kita tidak sebesar mana jadi jika syarikat tempatan yang mahu berkembang ia perlu akses ke pasaran luar. Sebagai negara yang terbuka dan mempunyai banyak FTA dengan negara lain, maka ia peluang buat PMKS mengambil kesempatan ini untuk menggunakan manfaat yang kita ada,” ujarnya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul mengumumkan pengecualian cukai jalan dan rebat sehingga RM2,400 untuk pembelian motosikal elektrik sebagai usaha kerajaan mempromosikan penggunaan kenderaan elektrik (EV).
Insentif itu tersedia untuk individu dengan pendapatan tahunan kurang daripada RM120,000 bagi menggalakkan rakyat Malaysia beralih kepada EV dan menyokong inisiatif mobiliti hijau.
#MITI #mata wang ringgit #Tengku Zafrul #ekonomi malaysia
;