Ekonomi Malaysia 2023 tumbuh 3.7 peratus, gagal capai sasaran 4.0 peratus
Harits Asyraf Hasnan
Februari 16, 2024 13:15 MYT
Februari 16, 2024 13:15 MYT
KUALA LUMPUR: Jangkaan ekonomi Malaysia tumbuh antara 4.0 hingga 5.0 peratus pada 2023 meleset apabila hanya merekodkan pertumbuhan sederhana pada kadar 3.7 peratus.
Pertumbuhan sederhana itu direkodkan selepas asas tinggi yang direkodkan pada 2023 iaitu 8.7 peratus, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada Ogos tahun lalu mengunjurkan ekonomi Malaysia akan tumbuh antara 4.0 hingga 5.0 peratus pada tahun 2023.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan keseluruhan 2023 dipacu oleh sektor perkhidmatan (5.3 peratus) diikuti oleh sektor pembinaan (6.1 peratus) dan pembuatan (0.7 peratus).
Sektor pembuatan bertumbuh pada kadar yang lebih perlahan iaitu 0.7 peratus (2022: 8.1 peratus) berikutan asas yang lebih tinggi pada tahun sebelumnya dan permintaan luaran global yang lemah.
"Dari segi permintaan dalam ekonomi, pertumbuhan dipacu oleh perbelanjaan penggunaan akhir swasta atau perbelanjaan isi rumah yang meningkat sebanyak 4.7 peratus, diikuti oleh pembentukan modal tetap kasar (PMTK) iaitu 5.5 peratus dan perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan (3.9 peratus).
"Sementara itu, eksport dan import masing-masing merekodkan penurunan sebanyak 7.9 peratus dan 7.6 peratus, dengan eksport bersih mencatatkan penyusutan 11.3 peratus pada 2023," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata prestasi ekonomi Malaysia itu adalah seiring dengan negara ASEAN lain yang menunjukkan pertumbuhan sederhana pada 2023 iaitu Singapura 1.1 peratus (2022: 3.8 peratus), Indonesia 5.1 peratus (2022: 5.3 peratus) dan Filipina 5.6 peratus (2022: 7.6 peratus).
Negara maju lain turut mencatatkan pertumbuhan sederhana seperti Korea Selatan 1.4 peratus (2022: 2.6 peratus) dan United Kingdom 0.1 peratus (2022: 4.3 peratus).
Bagaimanapun, China terus berkembang pada 5.2 peratus (2022: 3.0 peratus) dan Amerika Syarikat meningkat 2.5 peratus (2022: 1.9 peratus) pada 2023.