Ekonomi Malaysia 2023: Sedia bertindak tangani impak risiko luar - Tengku Zafrul

Harits Asyraf Hasnan
Ogos 5, 2022 10:40 MYT
Menurut Zafrul, kebimbangannya adalah pada 2023 di mana ia satu cabaran, kita perlu lihat bagaimana prestasi ekonomi global. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Risiko luar dijangka terus menghambat kelembapan ekonomi Malaysia tahun hadapan, kata Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menteri Kewangan itu mengakui tahun 2023 akan lebih mencabar sekali gus memerlukan penilaian semula polisi bergantung kepada prestasi ekonomi dunia.
Beliau pada masa sama yakin ekonomi Malaysia pada tahun ini akan kekal dengan pertumbuhan positif di sebalik kelembapan ekonomi di Amerika Syarikat (AS).
"Bagi Malaysia, kami optimis tahun ini akan menyaksikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang positif antara 5.3 ke 6.3 peratus.
"Seperti saya kata, kita tahu (KDNK) suku pertama mengembang lima peratus dan suku kedua akan lebih kukuh daripada itu, manakala untuk suku ketiga tahun ini dijangka positif selepas merekodkan negatif tahun lepas.
"Jadi kami (Kementerian Kewangan) optimis akan (pertumbuhan KDNK) di sebalik kelembapan ekonomi AS.
"Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka juga merekodkan nilai perdagangan kepada KDNK pada kadar 20 peratus.
"Kebimbangannya adalah pada 2023 di mana ia satu cabaran. Kita perlu lihat bagaimana prestasi ekonomi global.
"Selepas itu saya fikir kita perlu lihat semula beberapa polisi, tetapi apa yang penting adalah kita kena bersedia menghadapi kelembapan ekonomi global," katanya dalam temu bual program First Move di CNN bersama Julia Chatterley pada Khamis malam waktu tempatan.
Ekonomi | Risiko luar dijangka hambat kelembapan pertumbuhan 2023
Ditanya berkenaan laporan yang mendakwa Malaysia akan menerima nasib sama seperti Sri Lanka, Tengku Zafrul dengan tegas menyenaraikan beberapa sebab yang menafikan dakwaan tersebut.
"Jika kita bandingkan ekonomi Sri Lanka dan Malaysia ia jauh berbeza, kepelbagaian ekonomi Malaysia. Sri Lanka banyak memfokuskan kepada pelancongan.
"Kami (Malaysia) adalah pengeksport komoditi. Sebagai contoh, Rizab Antarabangsa adalah AS$106 bilion berbanding Sri Lanka yang hanya AS$3 bilion.
"Hutang berbanding KDNK kami adalah sekitar 60 peratus di mana Sri Lanka melebihi 100 peratus.
"Apa yang lebih penting, jika dilihat pada ketika ini dari segi pinjaman, pinjaman dalam mata wang asing hanya 2.5 peratus daripada keseluruhan hutang dengan 97 peratus lagi adalah dalam mata wang ringgit.
"Jadi kita (Malaysia) sudah tentu jauh berbeza daripada Sri Lanka yang menghadapi defisit berkembar dan Malaysia tidak," katanya.
#Keluaran Dalam Negara Kasar #Amerika Syarikat #Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #unjuran ekonomi 2023
;