Ekonomi Madani: BNM, SC akan perkukuh kewangan Islam Malaysia menerusi MIFC - PM Anwar

Bernama
Julai 27, 2023 12:04 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti sedang merangka arus Halalan Tayyiban melalui Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) dengan kerjasama industri dan ekosistem kewangan Islam untuk memperkukuh kedudukan negara sebagai peneraju ekonomi Islam global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, usaha ini akan lebih menekankan kepada pembiayaan ekuiti termasuk modal teroka, pendanaan awam ekuiti, ekonomi digital Islam, kewangan sosial Islam termasuk zakat, wakaf dan sadaqah, serta kaedah 'blended finance' yang menggunakan dana daripada sumber lebih meluas.
"Insya-Allah usaha-usaha ini akan dapat memantapkan lagi sistem kewangan Islam di Malaysia seterusnya memperkukuh kedudukan kita sebagai peneraju ekonomi Islam global," katanya dalam ucapan beliau pada majlis peluncuran Ekonomi Madani:Memperkasakan Rakyat, di sini, hari ini.
Anwar berkata, pembaharuan kewangan Islam juga bakal memanfaatkan pertumbuhan dana alam sekitar, sosial dan tatakelola (ESG) sedunia.
Menurutnya, usaha pembangunan negara yang holistik dan madani tidak mungkin tercapai tanpa sistem kewangan yang adil, ihsan dan berlandaskan maqasid syariah.
"Alhamdullilah, kita mempunyai sistem kewangan Islam yang serba lengkap. Sejak penubuhan Bank Islam 40 tahun lalu dan Lembaga Tabung Haji 60 tahun lalu, kewangan Islam kita diiktiraf sebagai terbaik dunia oleh penganalisis bebas," katanya.
Ketika ini bahagian pasaran perbankan Islam daripada jumlah pembiayaan adalah sebanyak 44.5 peratus (RM974.1 billion) manakala pasaran modal Islam pula kekal sebagai komponen utama pasaran modal Malaysia, menyumbang 64.3 peratus (RM2.32 trilion).
-- BERNAMA
#ekonomi madani #Anwar Ibrahim #Bank Negara Malaysia #suruhanjaya sekuriti #ekonomi islam
;