Ekonomi Madani akan pacu perubahan positif di Malaysia

Bernama
Julai 28, 2023 04:05 MYT
Pembangunan modal insan dan kesejahteraan sosial adalah penting untuk meningkatkan produktiviti, mengekalkan pertumbuhan KDNK yang mampan dan meningkatkan potensi pertumbuhan KDNK di Malaysia. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Inisiatif di bawah Ekonomi Madani berpotensi untuk memacu perubahan positif untuk Malaysia dengan mengguna pakai pendekatan strategik dan berasaskan nilai, terutamanya dalam tempoh ketidaktentuan domestik dan global, menurut Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC).
Katanya dari perspektif ekonomi, rangka kerja Madani adalah tepat pada masanya berdasarkan Belanjawan 2024 yang akan datang, Pelan Induk Perindustrian Baharu dan jangkaan pembentangan Akta Tanggungjawab Fiskal pada tahun ini.
Sebagai isyarat kepada konsistensi dasar, tema "Memperkasa Rakyat" mengekalkan momentum kerajaan ke arah pembangunan modal insan di Malaysia.
"Pembangunan modal insan diterapkan secara khusus dalam misi naratif Madani iaitu pertumbuhan inklusif, memberi kesaksamaan peluang dan pasaran tenaga kerja yang berdaya maju," menurut MARC dalam kenyataan pada Jumaat.
Disambut baik, matlamat yang boleh diukur dalam langkah ini termasuklah berada di tangga 25 teratas dunia dalam Indeks Pembangunan Manusia, peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan dan kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60 peratus.
"Kerajaan menjangka untuk terus memperkukuh pendidikan asas dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, dan membangunkan modal insan akan mengukuhkan lagi matlamat kerajaan untuk meningkatkan jaringan keselamatan sosial," katanya.
Katanya pembangunan modal insan dan kesejahteraan sosial adalah penting untuk meningkatkan produktiviti, mengekalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mampan dan meningkatkan potensi pertumbuhan KDNK di Malaysia.
Ekonomi Madani akan memacu ekonomi PKS
Sementara itu, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) berpendapat Rangka Kerja Ekonomi Madani akan memacu ekonomi dan pertumbuhan industri yang lebih baik, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Presidennya, Datuk William Ng berkata pasaran suram sejak berakhirnya pandemik dan rangka kerja ekonomi baharu itu akan menyediakan hala tuju yang amat diperlukan untuk ekonomi.
"Samenta telah lama menyatakan bahawa cabaran terbesar PKS bukanlah aliran tunai yang lemah atau kekurangan peluang perniagaan tetapi margin yang rendah berikutan produktiviti buruh yang lembap.
"Kerajaan mengambil langkah yang tepat untuk membetulkan ketidakpadanan buruh dan menambah baik gaji selain mewajibkan peningkatan kemahiran dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.
"Apabila produktiviti buruh bertambah baik, perniagaan akan dapat membayar lebih tinggi dan semua pihak menang," kata Ng.
Bagaimanapun, katanya PKS berhati-hati dengan model gaji progresif yang dirancang dan berharap Jawatankuasa Kerja Masa Depan ditubuhkan dengan wakil daripada sektor swasta dan awam untuk membuka dividen ekonomi untuk lebih ramai rakyat Malaysia.
Walaupun bersetuju bahawa gaji terlalu rendah, katanya semakan gaji tidak boleh dilakukan secara terburu-buru dan perlu disertai dengan peningkatan produktiviti buruh dan margin keuntungan.
"Kebanyakan sebab untuk gaji tidak berubah ialah bersifat struktur -- budaya pembelajaran yang merosot, ketidakpadanan umum dalam output pendidikan dan keperluan industri, tenaga kerja yang berubah dan persaingan serantau yang sengit untuk tenaga kerja.
"Ini tidak dapat diselesaikan dengan hanya memaksa perniagaan membayar lebih," kata Ng.
-- BERNAMA
#MARC #ekonomi madani #Belanjawan 2024 #gaji progresif
;