Ekonomi kini kian wujudkan ketidakseimbangan dalam pertumbuhan pendapatan
Aizat Sharif
November 21, 2013 17:17 MYT
November 21, 2013 17:17 MYT
Sistem pentadbiran dan ekonomi asas yang digunapakai di negara ini kian mewujudkan ketidakseimbangan dalam pertumbuhan pendapatan.
Menurut penganalisis ekonomi, Tan Sri Dr Kamal Salih, permasalahan tersebut sekaligus mewujudkan jurang kepada dua kelas masyarakat.
“Model kepada satu bentuk sistem ekonomi yang baru telah dijadikan asas kerajaan ini telah dilaksanakan dalam dua atau tiga tahun lepas. Namun, isu yang timbul dari situ adalah ketidakseimbangan dari segi pertumbuhan pendapatan,” katanya kepada Astro AWANI selepas menyampaikan syarahannya yang berjudul “Pembangunan dan Ketaksetaraan: Mencari Paradigma Ekonomi Baru Menggunakan Kes Malaysia” di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pagi tadi.
Beliau yang juga Profesor Adjung Ekonomi dan Kajian Pembangunan Universiti Malaya berkata hasil kajiannya mendapati ketidakseimbangan itu masih tidak dapat diturunkan kerana model yang sedia ada itu lebih bersifat mengikut pertumbuhan pasaran semata-mata.
“Oleh hal demikian, peranan kerajaan masih penting dan diperlukan dalam memastikan bukan sahaja untuk memastikan pertumbuhan ekonomi semata-mata namun kajian dari segi kesan dan impak terhadap pertumbuhan ekonomi itu keatas keadilan sosial dan inilah antara intipati perbincangan kita pada kali ini,” kata Dr Kamal lagi.
Menurutnya lagi meskipun kerajaan sudah sedikit sebanyak menyelesaikan kemiskinan mutlak dari 50 peratus kepada dua peratus, masih lagi wujud perbezaan ketara dari sudut garis kemiskinan antara penduduk yang tinggal di Semenanjung dan Sabah dan Sarawak.
“Bagaimanapun ianya boleh diselesaikan dari sudut pengagihan dan perbelanjaan dari segi keperluan asas seperti tenaga elektrik, air dan kajian dalam model ekonomi baru ini dibuat bertujuan untuk melihat keseimbangan ini secara menyeluruh,” katanya lagi.
Beliau menggesa satu perubahan dalam konsep dan persepsi untuk paradigma ekonomi baru ini amat diperlukan dan tidak hanya melibatkan kerajaan tetapi pihak swasta dan juga organisasi parti-parti politik.
“Impaknya bukan sahaja memberi kesan kepada golongan rendah namun ianya akan melibatkan juga golongan pertengahan dan atasan juga,” katanya lagi.
Sesi syarahan tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Institut Kajian Etnik UKM, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin yang mewakili Naib Chanselor UKM, Profesor Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Pengerusi Syarahan Peringatan Ishak Shari, UKM yang ke-9, Datuk Dr Abdul Rahman Embong dan Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Profesor Dr Rashila Ramli.