Ekonomi: Import dan eksport Malaysia kembali catat pertumbuhan dua digit
Afiezy Azaman
Mac 29, 2021 12:00 MYT
Mac 29, 2021 12:00 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas 12 bulan Malaysia kembali mencatatkan pertumbuhan positif dua digit bagi import dan eksport menurut laporan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri yang dikeluarkan pada Isnin.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata eksport Malaysia kekal pada paras yang tinggi, merekodkan peningkatan ketara 17.6 peratus kepada RM87.6 bilion, berbanding kenaikan 6.6 peratus pada Januari 2021.
Ini adalah pertumbuhan tahun ke tahun tertinggi dalam tempoh 28 bulan dan didorong oleh eksport domestik dan eksport semula.
"Eksport domestik berjumlah RM71.4 bilion menyumbang 81.6 peratus kepada jumlah eksport, meningkat 10.4 peratus sementara eksport semula bernilai RM16.1 bilion, meningkat 65.0 peratus tahun ke tahun.
"Import Malaysia pada Februari 2021 berjumlah RM69.7 bilion, mencatat pertumbuhan kukuh dua digit 12.7 peratus berbanding bulan yang sama 2020 dan Ini adalah pertumbuhan tahun ke tahun yang tertinggi sejak Julai 2018.
"Lebihan dagangan berjumlah RM17.9 bilion, menjadikan ia lebihan dagangan bagi bulan ke-10 berturut-turut sejak Mei 2020," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, jumlah dagangan yang bernilai RM157.3 bilion meningkat 15.4 peratus tahun ke tahun.
Jabatan Perangkaan Malaysia juga melaporkan bahawa peningkatan dalam eksport didorong oleh eksport yang lebih tinggi ke China (+RM3.4 bilion), Amerika Syarikat (+RM2.1 bilion), Singapura (+RM1.5 bilion), Hong Kong (+RM1.3 bilion) dan Kesatuan Eropah (+RM1.0 bilion).
Sementara itu, kenaikan import terutamanya dari China (+RM6.2 bilion), Indonesia (+RM1.1 bilion) dan Thailand (+RM819.3 juta).
Produk utama yang menyumbang kepada peningkatan eksport adalah barangan elektrik dan elektronik (+RM6.4 bilion); keluaran getah (+RM4.4 bilion); keluaran petroleum (+RM1.6 bilion); kimia dan bahan kima (+RM873.8 juta) dan barangan perkilangan logam\ (+RM799.1 juta).
#eksport
#import
#perangkaan perdagangan luar negeri
#Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin
#pertumbuhan
#lebihan dagangan