Ekonomi gig mampu jadi sektor pekerjaan stabil, jangka panjang

Astro Awani
Jun 11, 2020 14:33 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif aplikasi Go Get, Francesca Chia berkata, untuk beberapa tahun akan datang, industri akan mula memberi tumpuan kepada proses digitalisasi sekaligus mewujudkan suasana kerja yang lebih fleksibel. - Gambar AP
Ekonomi gig mampu menjadi sektor pekerjaan yang stabil dan jangka masa panjang pada masa depan apatah lagi selepas kerajaan mengumumkan peruntukan RM75 juta untuk sektor itu.
Ketua Pegawai Eksekutif aplikasi Go Get, Francesca Chia berkata, untuk beberapa tahun akan datang, industri akan mula memberi tumpuan kepada proses digitalisasi sekaligus mewujudkan suasana kerja yang lebih fleksibel.
“Selepas melalui COVID-19, saya 100 peratus percaya masa depan dunia pekerjaan selepas ini mesti jadi digital dan fleksibel. Syarikat sekarang mesti fikir bagaimana nak bina bisnes tapi jaga kos.
“Contohnya, mereka fikir tak boleh ambil pekerja sepenuh masa tapi ambil pekerja separuh masa, mesti guna pekerja sambilan. Jadi bagaimana nak cari pekerja sambilan yang bertanggungjawab, dipercayai, saya mesti cari dari GoGet sebagai contoh.
“Ini adalah satu perkara yang saya percaya akan ubah minda Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Pemilik kena fikir nak jual barang tidak lagi secara offline tetapi secara online dan mesti kena ada integrasi bersama online platform,” ujarnya.
Tambahnya, perkembangan ekonomi gig seiring peredaran masa mungkin menyebabkan waktu kerja normal tidak lagi menjadi kebiasaan pada masa depan.
Francesca juga berharap pada masa depan, seorang pekerja tidak hanya bekerja di bawah satu majikan semata-mata.
“Kita harap pada masa depan, satu orang ada dua atau tiga majikan. Selain itu, kita harap 9 pagi ke 5 petang tidak menjadi waktu normal bekerja.
“Kalau jam 8 pagi ke 10 pagi nak hantar anak ke sekolah dan selepas itu nak buat kerja, tiada masalah. Kita harap waktu 9 pagi ke 5 petang tidak lagi menjadi hanya pilihan yang ada,” katanya dalam temu bual Skype bersama Astro AWANI.
Dalam pada itu, Francesca menyatakan komuniti GoGet kini mencecah 16,000 orang dan secara puratanya, seorang GoGetter (pekerja di bawah platform GoGet) mampu menjana RM100 sehingga RM200 sehari.
#anak #Astro #Astro Awani #COVID-19 #ekonomi #Francesca Chia #GoGet #kerajaan #koronavirus #perusahaan kecil dan sederhana #PKS #sekolah
;