Ekonomi diramal tumbuh 4.2 peratus bagi tahun penuh 2016

Najib Aroff
Februari 7, 2017 11:22 MYT
Kos sara hidup kian meningkat, ditambah kelemahan ringgit dan selain itu, sentimen perniagaan masih tidak menentu.
Ekonomi negara diramal tumbuh 4.2 peratus bagi tahun penuh 2016 berdasarkan prestasi bulan-bulan terakhir 2016.
Sejak November 2016, ekonomi negara menunjukkan kestabilan selepas merekodkan pertumbuhan 4.3 peratus pada suku ketiga.
“Berdasarkan petunjuk pada bulan November dan suku ketiga, ia menunjukkan ekonomi kembali stabil. Dengan mengambil semua data ini termasuk data eksport dan pengeluaran industri, negara akan merekodkan pertumbuhan KDNK stabil suku ke empat.
“Perincian akan dikeluarkan minggu hadapan, kami unjuran sekitar 4.2 hingga 4.4 peratus, jadi bagi tahun penuh 2016, ekonomi dijangka berada pada 4.2 peratus,” kata Pakar Ekonomi UOB Bank Julia Goh.
Ujar beliau bagi tahun ini, ekonomi diunjur tumbuh 4.5 peratus, namun ia masih bergantung kepada perkembangan luar terutama selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump membentangkan dasar ekonominya.
Meskipun ekonomi diramal tumbuh baik, namun Julia berkata rakyat kurang merasai manfaat ekonomi sebenar.
“Kos sara hidup kian meningkat, ditambah kelemahan ringgit dan selain itu, sentimen perniagaan masih tidak menentu. Mereka gusar tentang dasar Trump, kelemahan pertumbuhan China, risiko geopolitik, namun harga minyak sudah kembali pulih namun masih rapuh. Ini antara faktor.
"Kegusaran utama adalah tentang kos sara hidup," katanya.
Ujar beliau lagi data eksport negara sejak November menunjukkan pemulihan disebalik cabaran global sekaligus akan diterjemahkan ke dalam pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh.
Dalam pada itu, Julia berkata dasar Trump yang anti China dijangka menjejaskan eksport negara sekiranya ia benar benar dilaksanakan.
“Bagi Malaysia dan Asia, kegusaran utama sama ada dasar beliau akan mencetuskan perang dagangan dengan China, kerana Amerika dan China merupakan rakan dagang besar kepada kita dan rantau ini.
“Sudah tentu ia akan ada kesan negatif kepada kita. Pada masa sama kita masih menanti pengumuman reformasi percukaian negara itu yang mungkin mencetuskan aliran keluar modal. Ia akan menjadikan mata wang lebih lemah.
“Malah apa sahaja dasar yang dilihat bakal menjejaskan Amerika akan menjejaskan rantau ini," katanya.
#ekonomi malaysia #GDP #Julia Goh #KDNK #UOB Bank
;