Ekonomi digital main peranan utama selepas pandemik - Alibaba

Bernama
Mei 22, 2020 07:00 MYT
Alibaba Group menjangkakan ekonomi digital akan memainkan peranan yang lebih penting dalam pemulihan, penstrukturan semula rantaian bekalan serta membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membuat perdagangan merentas sempadan. - Gambar Hiasan
Alibaba Group menjangkakan ekonomi digital akan memainkan peranan yang lebih penting dalam pemulihan, penstrukturan semula rantaian bekalan serta membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membuat perdagangan merentas sempadan dalam era pasca-pandemik.
Naib Presiden Alibaba Global Initiatives (AGI), Brian Wong berkata usahawan adalah peneroka yang mewujudkan laluan baharu.
"Mereka bukan sahaja merintis usaha tetapi meneroka penggunaan alat digital untuk membolehkan pelanggan, rakan kongsi dan masyarakat setempat berubah.
"Kumpulan ini berharap usahawan kami akan tetap berpegang kepada misi dan visi mereka, kekal lincah dan terus berkhidmat kepada pelanggan dan komuniti selepas pandemik ini," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata COVID-19 benar-benar menguji model kesihatan, sosial, sistem ekonomi, kepimpinan usahawan dan perniagaan sehingga mendedahkan kepincangan yang tersembunyi dalam sistem semasa.
"Kami menggalakkan para usahawan untuk menghadapi cabaran dan mengambil peluang bagi meningkatkan keupayaan dalaman syarikat mereka, memandangkan pandemik ini telah mempercepatkan transformasi digital dan banyak negara kini berada pada titik lengkok balas," katanya.
Menurut Wong, ekonomi digital sama ada, e-dagang, pembayaran tanpa tunai, penghantaran tanpa sentuh sehingga kepada data besar telah memainkan peranan penting dalam bidang sokongan komuniti serta kawalan penyebaran.
Alibaba Business School telah mendapat pelajaran terpenting dalam kajian masa depan, seperti kepentingan untuk menerima perubahan serta kekal lincah kerana ia sekolah itu mengambil masa untuk memberi respons kepada krisis dan membuat pelarasan kepada program latihan.
Ia juga menekankan kepentingan inovasi yang berkaitan dengan penambahbaikan berterusan dan kejayaan yang berpusat pada sekitar keperluan usahawan dan komuniti PKS.
Ia juga menarik perhatian kepada kepentingan komuniti itu, selepas para usahawan mampu bangkit sehingga berjaya menangani cabaran melalui kerjasama dengan usahawan lain dalam masyarakat yang mana wujud pemahaman dan kepercayaan yang sama.
Wong menggambarkan norma baharu ini akan merangkumi perkemasan rantaian bekalan dan ekonomi digital termasuk e-dagang, bayaran tanpa tunai, penghantaran tanpa sentuh dan pengstriman langsung menjadi ekonomi arus perdana.
Selain itu, lebih banyak syarikat akan menggunakan kaedah kerja, pendidikan termasuk latihan pintar untuk terus berada dalam talian dalam masa terdekat.
"Kami akan menerima norma baharu ini dan membantu usahawan kami mengemudi keadaan ini daripada perpekstif pembinaan kapasiti.
Misi AGI adalah untuk berkongsi kesan positif daripada paradigma perniagaan baharu dalam mempromosikan pembangunan inklusif dan memberi inspirasi serta memperkasakan usahawan, belia dan wanita.
"Kami juga telah menyimpulkan tanggapan dan pembelajaran utama daripada ekosistem Alibaba dan komuniti usahawan kami dalam satu buku panduan yang bertajuk "Tindakan Pendigitalan untuk Usahawan Dalam Covid-19 : Pembelajaran Alibaba", ini akan membantu lebih banyak perniagaan mengambil peluang di atas wabak kali ini melalui teknologi digital dan inovasi," kata Wong.
Melangkah ke hadapan, Wong berkata Alibaba akan terus menyesuaikan kandungan dan format latihannya bagi menyokong komuniti usahawan dan membolehkan mereka mempercepatkan transformasi digital.
-- BERNAMA
#Alibaba Group #Belia #Brian Wong #COVID-19 #ekonomi #ekonomi digital #koronavirus #pendidikan #PKS #usahawan
;