Ekonomi berpendapatan tinggi: Malaysia perlu wujudkan 2 juta pekerjaan berkualiti tinggi - Pakar
Astro Awani
April 24, 2021 17:19 MYT
April 24, 2021 17:19 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mewujudkan kira-kira dua juta pekerjaan berkualiti tinggi untuk pekerja dari semua latar belakang dan tahap kemahiran.
Menurut penulisan Pemimpin Amalan untuk Pembangunan Manusia Bank Dunia, Dr Achim Schmillen dan Ahli Ekonomi dalam Perlindungan Sosial dan Amalan Pekerjaan Global di Bank Dunia, Dr Amanina Abdur Rahman, ia satu langkah yang penting dalam peralihan negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi.
“Bagi peralihan tersebut untuk menjadi lebih bermakna bagi rakyat negara ini, Malaysia perlu menangani cabaran untuk mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi, iaitu pekerjaan yang sangat produktif dan dilindungi insuran sosial.
“Cabaran tersebut menjadi semakin kompleks kerana kemajuan teknologi yang pesat dan dikaitkan dengan perubahan sifat pekerjaan yang menjadi satu fenomena yang dipercepatkan semasa berlakunya pandemik COVID-19,” kata mereka.
Menurut artikel yang memetik laporan 'Aiming High: Navigating the Next Stage of Malaysia’s Development', langkah mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi memerlukan dasar proaktif baik dari sisi permintaan mahupun penawaran.
Dari sisi permintaan, kata Dr Achim dan Dr Amanina, halangan produktiviti dan daya saing perlu diberikan perhatian.
Dari segi penawaran pula, dasar yang proaktif diperlukan untuk tiga bidang iaitu pembangunan modal insan, melatih semula dan meningkatan kepakaran tenaga kerja dan menggerakkan sumber tenaga kerja yang kurang digunakan, khususnya dalam golongan wanita dan belia.
“Dasarnya termasuk memupuk peralihan belia dari sekolah ke pekerjaan menerusi struktur tadbir urus yang bersatu untuk pendidikan vokasional dan membolehkan lebih ramai wanita untuk mengambil bahagian dalam pasaran buruh melalui reformasi undang-undang untuk menambahbaik sokongan untuk ibu bapa serta penyediaan penjagaan anak dan warga emas.
“Tanpa dasar proaktif sebegini, wanita dan belia akan tetap menjadi sumber tenaga kerja yang kurang digunakan.
“Pada 55.6 peratus, kadar penyertaan tenaga kerja wanita di Malaysia lebih rendah daripada di negara-negara lain – meningkatkan kadar ini mampu mendorong pembangunan dan mempunyai kesan pertumbuhan positif yang signifikan.
“Begitu juga dengan kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 24 tahun adalah tiga kali ganda lebih tinggi daripada kadar pengangguran bagi individu berusia 25 hingga 64 tahun,” kata mereka.
#ekonomi berpendapatan tinggi
#pekerjaan berkualiti tinggi
#COVID-19
#Dr Achim Schmillen
#Dr Amanina Abdur Rahman
#wanita
#Belia
#kepakaran tenaga kerja
#modal insan