Ekonomi berkembang lima peratus suku ketiga

Bernama
November 15, 2013 11:51 MYT
Ekonomi berkembang dengan lebih kukuh sebanyak lima peratus dalam suku ketiga tahun ini daripada pertumbuhan semakan sebanyak 4.4 peratus dalam suku kedua tahun ini, dengan didorong oleh permintaan domestik dan pemulihan ketara eksport.
Ketika mengumumkan berita baik bagi ekonomi negara ini, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata permintaan domestik meningkat sebanyak 8.3 peratus, manakala eksport mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.7 peratus berbanding penguncupan 5.2 peratus.
Berita positif ini diumumkan berikutan keadaan turun naik yang lebih ketara akibat ketidakpastian tentang dasar-dasar fiskal dan monetari ekonomi-ekonomi maju khususnya Amerika Syarikat.
BNM mengekalkan unjuran 4.5-5 peratus bagi 2013.
Kadar inflasi keseluruhan seperti yang diukur melalui perubahan tahunan Indeks Harga Pengguna (IHP), adalah lebih tinggi pada 2.2 peratus dalam suku ketiga daripada pertumbuhan 1.8 peratus dalam suku kedua.
Beliau berkata peningkatan ini terutamanya disebabkan oleh kadar inflasi yang lebih tinggi dalam kategori pengangkutan, makanan dan minuman bukan alkohol.
Dari segi penawaran, pertumbuhan kebanyakan sektor ekonomi meningkat dalam suku ketiga, katanya.
Zeti berkata sektor perkhidmatan dan perkilangan terus berkembang, disokong oleh permintaan dalam negeri serta aktiviti perdagangan yang bertambah baik.
Sektor pertanian mencatat pertumbuhan yang lebih tinggi, disokong terutamanya oleh pengeluaran tanaman makanan, manakala pertumbuhan yang lebih sederhana dalam sektor perlombongan mencerminkan pengeluaran gas asli dan minyak mentah yang lebih rendah, kata beliau.
Pertumbuhan turut disokong oleh subsektor bukan kediaman dan kejuruteraan awam, kata Zeti.
Berdasarkan asas suku tahunan terlaras secara bermusim ekonomi telah berkembang sebanyak 1.7 peratus berbanding 1.4 peratus dalam suku sebelumnya, katanya.
Penggunaan swasta berkembang sebanyak 8.2 peratus berbanding 7.2 peratus dalam suku sebelumnya, disokong oleh keadaan guna tenaga dan pertumbuhan upah yang mampan.
Sementara itu, pertumbuhan penggunaan awam menjadi sederhana kepada 7.8 peratus dalam suku ketiga berbanding 11.8 peratus dalam suku kedua tahun ini, mencerminkan terutamanya perbelanjaan Kerajaan yang lebih rendah bagi bekalan dan perkhidmatan.
Dalam sektor luaran, lebihan akaun semasa telah meningkat kepada RM9.8 bilion dalam suku ketiga, bersamaan dengan 4.1 peratus daripada Pendapatan Negara Kasar (PNK), daripada RM2.6 bilion atau 1.1 peratus PNK.
Imbangan pembayaran keseluruhan telah mencatat lebihan yang lebih besar sebanyak RM11.8 bilion pada suku ketiga berbanding RM1.5 bilion dalam duku kedua 2013.
Pada paras semasa Kadar Dasar Semalaman (OPR), keadaan monetari terus menyokong aktiviti ekonomi.
Melangkah ke hadapan, kata beliau, pemulihan beransur-ansur sektor luaran akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Permintaan domestik daripada sektor swasta akan terus menyokong kegiatan ekonomi dalam keadaan pengukuhan sektor awam yang berterusan, kata beliau.
"Oleh itu, pertumbuhan ekonomi dijangka kekal pada kadar yang stabil," tegas Zeti.
Kata beliau, kemunculan tanda-tanda pemulihan dalam ekonomi maju utama dijangka menyokong pertumbuhan global keseluruhan.
"Ketidaktentuan mengenai pelarasan dasar fiskal dan monetari dalam ekonomi ini, bagaimanapun, dijangka mempengaruhi sentimen pasaran dan prospek pertumbuhan keseluruhan dalam ekonomi global.
"Walaupun limpahan dasar global dijangka memberikan sedikit kesan kepada Asia, pertumbuhan akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri," kata Zeti.
#Bank Negara #KDNK #Zeti Akhtar Aziz