Ekonomi APEC digesa kekalkan pasaran terbuka semasa tempoh mencabar ini

Bernama
Mei 14, 2020 18:40 MYT
Sta Maria berkata semua ekonomi APEC perlu bekerjasama untuk mewujudkan persekitaran pelaburan saksama. - Bernama
Anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) perlu komited untuk terus membuka pasaran mereka semasa tempoh mencabar ini selain tidak melaksanakan dasar perlindungan, kata Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC, Tan Sri Rebecca Fatima Sta Maria.
Beliau berkata berikutan pandemik COVID-19, yang meragut hampir 300,000 nyawa di seluruh dunia, rantau ini perlu menggalakkan sokongan lebih besar untuk sistem penjagaan kesihatan di samping memastikan harga bekalan dan peralatan perubatan berpatutan.
"Kita semua harus komited kepada usaha ini untuk meningkatkan kedudukan kita, sekali gus boleh memerangi pandemik ini bersama-sama dalam keadaan kita yang lebih baik sekarang," katanya semasa sesi taklimat Forum Ekonomi Dunia-Pertubuhan Kesihatan Sedunia (Rantau Pasifik Barat) secara dalam talian pada Khamis.
Sesi selama sejam itu, yang disiarkan secara langsung menerusi weforum.org dan saluran media sosial forum tersebut, mengetengahkan pakar penting daripada sektor kesihatan awan, kerajaan, perniagaan dan media untuk berkongsi pandangan mereka mengenai krisis COVID-19.
Sta Maria berkata semua ekonomi APEC perlu bekerjasama untuk mewujudkan persekitaran pelaburan saksama, tanpa diskriminasi, telus dan stabil bagi memastikan perdagangan dan perniagaan terus mengalir khususnya semasa tempoh mencabar ini.
"Kebimbangan kita adalah kesan pandemik itu ke atas aspek yang paling mudah terjejas dalam ekonomi kita serta ekonomi yang rentan.
"Perdagangan adalah alat penting untuk mempermudah akses kepada barangan perubatan yang membantu menangani cabaran yang sedang kita hadapi, terutama berkaitan akses kepada peralatan pelindungan diri seperti penutup hidung dan mulut serta sarung tangan getah," katanya.
APEC mewakili 40.8 peratus atau US$404.5 bilion nilai import global barangan perubatan penting serta 28.8 peratus (US$271.8 bilion) daripada eksport global.
Lebih 90 peratus perdagangan barangan perubatan di rantau Asia-Pasifik melibatkan 10 negara daripada 21 negara anggotanya.
Sta Maria berkata APEC memahami bahawa beberapa negara telah melaksanakan sekatan eksport ke atas barangan perubatan malah amalan tersebut dibenarkan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia.
"Bagaimanapun, lebih penting untuk kita memastikan langkah ini adalah sesuai, berkadar, telus dan bersifat sementara.
"Melangkah ke hadapan, setiap kerajaan benar-benar perlu menyediakan sokongan penuh kepada sistem penjagaan kesihatan dan perlindungan sosial," katanya.
APEC mempunyai purata 4.1 katil hospital, 1.9 pakar perubatan dan 3.9 jururawat atau bidan bagi setiap 1,000 orang penduduk dan angka ini telah meningkat sejak penularan Sindrom Pernafasan Akut Teruk pada 2003, katanya.
-- BERNAMA
#APEC #ekonomi #Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik #kesihatan #pasaran #pelaburan #Rebecca Fatima Sta Maria
;