Ekonomi APEC dianggarkan berkembang sebanyak 3.5 peratus bagi 2023
Bernama
Mac 11, 2024 19:12 MYT
Mac 11, 2024 19:12 MYT
KUALA LUMPUR: Ekonomi blok Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dianggarkan berkembang sebanyak 3.5 peratus bagi 2023, meningkat daripada 2.6 peratus pada 2022, seiring dengan pertumbuhan ekonomi global.
Menerusi APEC Bulletin pada Isnin, forum antara kerajaan itu menjelaskan bahawa perbelanjaan pengguna merupakan pemacu utama di sebalik pertumbuhan lebih tinggi pada 2023, walaupun pelancongan dan perjalanan kekal kukuh, manakala perbelanjaan kerajaan turut membantu merangsang aktiviti ekonomi.
"Unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan APEC akan terus berkembang dalam tempoh terdekat namun pada kadar sederhana 3.2 peratus bagi 2024 dan 2.8 peratus pada 2025.
"Cabaran global dilihat akan mempengaruhi pemulihan ekonomi, manakala ekonomi APEC juga perlu berdepan dengan kesan pengetatan monetari yang terkemudian selain langkah sokongan fiskal yang dikecilkan," tambahnya.
Inflasi dijangka mencecah purata lebih rendah pada 3.8 peratus bagi 2023 berbanding 5.9 peratus pada 2022, disebabkan oleh kenaikan kadar dasar monetari secara serentak dan berturut-turut dalam kalangan banyak ekonomi.
"Inflasi di zon ini dijangka kekal pada laluan menurun dalam tempoh terdekat pada 3.0 peratus pada 2024 dan 2.6 peratus pada 2025, sejajar dengan inflasi global yang rendah.
"Walau bagaimanapun, pihak berkuasa perlu memantau turun naik kadar pertukaran mata wang asing terutamanya kerana mata wang yang lebih lemah merumitkan pengurusan inflasi dan boleh menyebabkan ketidakpadanan mata wang, menjejaskan kewajipan pembayaran," katanya.
Bagi tempoh Februari 2023 hingga Februari 2024, mata wang 17 ekonomi APEC susut nilai berbanding dolar Amerika Syarikat, di antara -1.3 peratus dengan -22.6 peratus.
Menurut APEC pihak berkuasa monetari perlu terus berwaspada memandangkan insiden di Laut Merah dan kemarau di Terusan Panama menjejaskan laluan perkapalan dan kos pengangkutan, yang kemudiannya boleh mencetuskan tekanan inflasi.
Data terbaharu (sehingga 1 Feb, 2024) menunjukkan sedikit penurunan, tetapi masih ketara berbanding kadar setahun lepas, dan peningkatan kos perkapalan yang berpanjangan -- jika masalah berterusan -- boleh meningkatkan risiko inflasi.
Walaupun dasar fiskal dijangka diketatkan pada 2024 untuk menguruskan tahap hutang yang tinggi, pengurangan perbelanjaan yang berlebihan juga boleh mengekang aktiviti ekonomi, jelasnya.
Justeru, strategi kerjasama adalah penting untuk membantu ekonomi APEC menangani pelbagai cabaran dengan berkesan -- pemulihan ekonomi pasca pandemik, isu geopolitik dan pemecahan geoekonomi, perubahan iklim dan membina daya tahan terhadap kejutan masa depan.
"Dalam jangka masa pendek, masih terdapat keperluan mendesak untuk pihak berkuasa monetari terus berwaspada terhadap risiko inflasi dan membuat pelarasan kadar dasar yang tepat pada masanya apabila diperlukan, dan pengurus fiskal perlu memberi tumpuan kepada pengukuhan fiskal dalam keadaan pertambahan hutang.
"Langkah membina semula penampan fiskal adalah penting untuk bersedia secukupnya terhadap kejutan masa depan, walau bagaimanapun, mencapai keseimbangan yang betul di antara pengukuhan fiskal dengan menyokong aktiviti ekonomi juga adalah sama penting," tambahnya.
Menurut buletin itu, inovasi dan pendigitalan mesti menjadi teras kepada strategi pertumbuhan APEC, untuk melonjakkan produktiviti, daya saing dan hasil pengeluaran.
-- BERNAMA