EdgePoint masuk pasaran Filipina dengan pembelian 3,000 menara telekomunikasi daripada PLDT

Dagang News
April 20, 2022 09:20 MYT
Perjanjian tersebut melibatkan penjualan sebanyak 2,934 menara telekomunikasi di gugusan kepulauan Luzon kepada EdgePoint Philippines, oleh Smart dan DMPI. -Dagang News
KUALA LUMPUR: EdgePoint Infrastructure, sebuah syarikat infrastruktur telekomunikasi bebas terkemuka berpangkalan di ASEAN yang disokong oleh DigitalBridge, telah memasuki pasaran Filipina, berikutan pemeteraian perjanjian Jualan & Pajakan Balik antara Smart Communications Inc, Digitel Mobile Philippines, Inc. dan Comworks Infratech Corporation.
Perjanjian tersebut melibatkan penjualan sebanyak 2,934 menara telekomunikasi di gugusan kepulauan Luzon kepada EdgePoint Philippines, oleh Smart dan DMPI, kedua-duanya anak syarikat komunikasi wayarles dan perkhidmatan digital milik penuh PLDT Inc, syarikat telekomunikasi bersepadu terbesar di Filipina.
Selepas penjualan itu, Smart akan menyewa menara telekomunikasi daripada EdgePoint Philippines untuk memenuhi keperluan komunikasi mudah alih dan sambungan internet berkelajuan tinggi di rantau tersebut.
Penjualan menara berkenaan kepada EdgePoint Philippines juga mengukuhkan kedudukan EdgePoint sebagai syarikat menara yang paling pesat berkembang di ASEAN, dengan portfolio sejumlah 13,000 menara selepas perjanjian itu dimeterai.
EdgePoint Philippines adalah usaha sama di antara EdgePoint, SMS Global Technologies Inc (SMS-GT) dan ComWorks Inc.
SMS-GT telah menjadi pembekal terkemuka bagi pemerolehan tapak, penyelesaian tenaga dan pembinaan menara telekomunikasi selama lebih 25 tahun di Filipina, manakala ComWorks Inc adalah salah satu pemborong terbesar perkhidmatan telekomunikasi dan peralatan rangkaian mudah alih di negara berkenaan.
Pengarah Urusan, Ketua Asia, DigitalBridge Investment Management, Justin Chang berkata, pihaknya teruja dengan perluasan EdgePoint ke Filipina, salah satu pasaran pertumbuhan wayarles paling menarik yang diperhatikan sejak kebelakangan ini.
Katanya, kemasukan EdgePoint ke dalam pasaran ini mengukuhkan lagi kedudukannya dalam rantau Asia Tenggara yang pesat berkembang, dan mewakili satu lagi pencapaian penting dalam perkembangannya menjadi salah satu penyedia infrastruktur digital terkemuka dalam era 5G.
‘’DigitalBridge komited dalam menyokong cita-cita pertumbuhan EdgePoint dan kami teruja melihat rangkaian peluang yang bakal tersedia pada masa hadapan,” kata beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif EdgePoint, Suresh Sidhu pula berkata, pihaknya juga ingin memanfaatkan pengalaman luas rakan kongsi tempatan, Comworks Inc dan SMS-GT.
‘’Kami komited untuk membina operasi bertaraf dunia bagi mengembangkan penyelesaian sambungan generasi baru, merapatkan jurang digital di Filipina dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam sektor ini.
‘’Sektor telekomunikasi Filipina mempunyai potensi yang sangat besar, dan kami mahu menyertai sebahagian daripada masa depannya,” kata beliau. – DagangNews.com
#EdgePoint Infrastructure #masuk pasaran Filipina #Smart Communications Inc #Digitel Mobile Philippines
;