Ecofirst ambil alih simpanan tanah di pinggir pusat bandar KL dengan GDV RM1.2 bilion

Bernama
April 7, 2021 06:11 MYT
Selepas selesai pengambilalihan ini, Yeoh dan Tan akan secara kolektif menjadi pelabur strategik EcoFirst dengan gabungan kepentingan utama sebanyak 20 peratus daripada modal syarikat diperbesar.
KUALA LUMPUR: EcoFirst Consolidated Bhd memeterai perjanjian penjualan saham bersyarat dengan vendor, Yeoh Siok Choo dan Tan You Tiong untuk mengambil alih kepentingan ekuiti sebanyak 51 peratus dalam BCM Holdings Sdn Bhd (BCM) bagi pertimbangan belian berjumlah RM81.6 juta.
BCM adalah pemilik berdaftar dan bermanfaat bagi dua bidang tanah pegangan bebas yang berhampiran yang terletak di Sungai Besi (BCM Properties) berkeluasan kira-kira 4.18 ekar dan di Jalan satu, Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Tanah berkenaan mempunyai nisbah plot diluluskan pada 1:9.3 dan pelan bangunan itu telah diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Ini adalah lokasi strategik di pinggir pusat bandar Kuala Lumpur. Tun Razak Exchange merangkumi kawasan berkeluasan 70 ekar yang dijangka menjadi hab kewangan Islam dunia adalah 1.5km ke utara dan Bandar Malaysia merangkumi 495 ekar adalah 1.0 km ke selatan tanah berkenaan.
"Infrastruktur penghubung utama di tanah ini adalah Jalan Sungai Besi, Lebuhraya Besraya, Jalan Loke Yew, Jalan Istana, Terowong SMART, Lebuhraya MEX, Lebuhraya Hubungan Timur-Barat dan Lebuhraya Baru Pantai.
"Mass Rapid Transit Lembah Klang Laluan 2 (MRT2) Chan Sow Lin dan Transit Aliran Ringan (LRT) terletak pada sekitar 700 meter," kata Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan EcoFirst, Datuk Tiong Kwing Hee dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata ia juga adalah sejajar dengan usaha pengembangan kumpulan untuk terus meningkatkan kehadirannya dalam industri pembangunan hartanah dengan meningkatkan simpanan tanah di kawasan Lembah Klang.
"Selepas selesai pengambilalihan ini, Yeoh dan Tan akan secara kolektif menjadi pelabur strategik EcoFirst dengan gabungan kepentingan utama sebanyak 20 peratus daripada modal syarikat diperbesar," katanya.
Anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) yang dirancang di BCM Properties berjumlah sehingga RM1.2 bilion manakala anggaran kos pembangunan kasar berjumlah sehingga RM650 juta.
Perintah pembangunan bagi BCM Properties telah diluluskan untuk pembangunan 1,620 unit pangsapuri perkhidmatan di tiga blok 70 tingkat.
Pada Oktober tahun lepas, pelan bangunan ke atas BCM Properties turut diluluskan oleh DBKL.
Kumpulan itu berkata pertimbangan belian itu dicapai susulan rundingan antara EcoFirst dan vendor berdasarkan kerelaan pembeli dan penjual.
Pertimbangan belian berjumlah RM81.6 bilion itu mewakili diskaun sebanyak RM983,000 atau 1.2 peratus kepada aset bersih BCM yang diselaraskan.
Pertimbangan belian itu dicadangkan dibiayai menerusi gabungan tunai sebanyak RM1.63 juta atau dua peratus dan terbitan dan peruntukan berjumlah 228.5 juta saham biasa baharu dalam modal Ecofirst pada harga terbitan RM0.35 bagi setiap saham pertimbangan (98 peratus).
-- BERNAMA
#tanah #hartanah #simpanan #perjanjian penjualan saham bersyarat #saham #perjanjian #EcoFirst Consolidated Bhd #Sungai Besi #Tun Razak Exchange #Kuala Lumpur #BCM Holdings #DBKL #pinggir pusat bandar #nilai pembangunan kasar #vendor #ambil alih #kepentingan ekuiti
;