EAEU, Indonesia akan mulakan rundingan FTA
Bernama
Disember 6, 2022 09:45 MYT
Disember 6, 2022 09:45 MYT
MOSCOW: Kesatuan Ekonomi Eurasia dan Indonesia akan memulakan rundingan perjanjian perdagangan bebas, menurut BelTA memetik Suruhanjaya Ekonomi Eurasia (EEC).
EEC memaklumkan ahli Lembaga (Menteri) Perdagangan EEC Andrey Slepnev dan Menteri Perdagangan Republik Indonesia Zulkifli Hasan menandatangani kenyataan bersama mengenai rundingan FTA itu dan rundingan pusingan pertama akan diadakan pada suku pertama 2023.
"Kesatuan Ekonomi Eurasia mementingkan pembangunan kerjasama yang saling menguntungkan dengan Indonesia yang merupakan antara rakan dagang utama kami di ASEAN dan rantau Asia-Pasifik.
"Kami perlu memanfaatkan potensi: memandangkan kajian menunjukkan liberalisasi syarat perdagangan boleh menambah AS$1.5 bilion lagi kepada perolehan dagangan kami?," kata Andrey Slepnev.
Beliau berkata terdapat prospek besar bagi produk pertanian yang secara tradisinya membentuk sebahagian besar import EAEU dari Indonesia selain komoditi perindustrian yang didagangkan secara aktif di kedua-dua hala.
Bagi mencapai pelaksanaan perjanjian yang berkesan untuk masa akan datang, interaksi antara komuniti perniagaan EAEU dan Indonesia perlu digalakkan. Ini akan dimudahkan menerusi forum, pameran perdagangan dan pelaburan, seminar selain bantuan bersama untuk mencari rakan kongsi, kata beliau.
"Sebagai platform untuk kami membincangkan prospek bagi memperkukuh kerjasama, kami mencadangkan untuk menganjurkan dialog perniagaan dua hala dalam rangka kerja Forum Ekonomi Eurasia pada musim bunga 2023," kata Andrey Slepnev sambil menyatakan harapannya agar Indonesia menyokongnya.
Menurut EEC, dari Januari hingga September 2022, dagangan antara EAEU dan Indonesia melonjak 48.4 peratus tahun ke tahun, dengan eksport daripada EAEU meningkat lebih 2.5 kali ganda manakala import meningkat hampir 16 peratus.
-- BERNAMA