E-dagang kekal prestasi selepas pembukaan sektor ekonomi negara

Afiq Murad
Jun 10, 2022 09:56 MYT
Tiga kategori item yang mempunyai permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan dalam talian ialah fesyen, barang runcit dan penjagaan kesihatan. - Gambar HP
KUALA LUMPUR: Kajian yang dilakukan syarikat penyelidikan dan perundingan pasaran antarabangsa, Ipsos melibatkan lebih 1,000 responden berkongsi pendapat dan pengalaman mereka menggunakan platform e-dagang sepanjang pembukaan semula ekonomi dalam enam bulan terkini.
Kajian tersebut dibuat yang dibuat pada April 2022 mengambil kira faktor Malaysia kini telah berada kepada fasa peralihan pandemik ke endemik.
Berikut antara dapatan daripada kajian yang dibuat Ipsos:
1) Prestasi e-dagang sejak pembukaan semula ekonomi
Terdapat sedikit penurunan aktiviti melayari platform e-dagang iaitu sebanyak 3 peratus daripada 75 peratus kepada 72 peratus.
Bagaimanapun, peningkatan pembelian melalui platfom e-dagang dalam enam bulan terkini merekodkan sebanyak 1 peratus.
2) Kepelbagaian trend pembelian dalam talian
Antara peningkatan yang jelas adalah dari segi kumpulan umur pembeli iaitu peningkatan sebanyak 7 peratus iaitu 66 peratus pembeli terdiri daripada kalangan individu berumur 18 ke 34 tahun.
Golongan wanita pula memperlihatkan peningkatan sebanyak 3 peratus berbanding lelaki di mana kadar pembeliannya kekal.
3) Apa yang dibeli rakyat Malaysia melalui platform E-dagang?
Kajian mendapati, terdapat tiga kategori item tertinggi daya tarikannya dala kalangan pembeli iaitu fesyen, barang runcit dan penjagaan kesihatan.
Trend ini dilihat seiring dengan keadaan semasa iaitu lebih ramai individu mula keluar dari rumah dan melibatkan diri dalam aktiviti masing-masing menyebabkan kenaikan item fesyen.
Sementara kenaikan pembelian barang runcit secara dalam talian pula pada kadar 11 peratus.
Walaupun sektor ekonomi sudah dibuka dan operasi perniagaan secara fizikal sudah dibenarkan, namun, kajian mendapati rakyat Malaysia sudah selesa dengan kaedah pembelian secara elektronik khususnya ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Kategori penjagaan kesihatan juga menjadi pilihan pengguna bertitik tolak daripada kesedaran dan kebimbangan rakyat terhadap kes COVID-19 sejurus menjadikan pengguna lebih peka dengan tahap kesihatan yang baik.
4) Shopee merupakan platform e-dagang pilihan utama rakyat Malaysia
Terdapat pelbagai jenis platform e-dagang di pasaran dan Shopee menjadi pilihan tertinggi sebanyak 79 peratus.
Pilihan utama ini diikuti Lazada (21 peratus) dan Facebook (18 peratus).
5) Tarikan utama bagi tiga jenama platform e-dagang
Rata-rata pengguna platform e-dagang di Malaysia menyatakan sebab-sebab tarikan utama bagi setiap jenis platform yang digunakan khususnya dengan tagline mereka yang sangat dekat dengan pengguna.
Tiga tagline popular dalam kalangan pembeli secara dalam talian ialah:
Shopee: “Memberi nilai berbaloi”
Lazada: “Produk relevan dengan gaya hidup”
Grab: “Mengutamakan pelanggan”
Secara keseluruhan, kajian Ipsos mendapati, Shopee berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai sebuah platform e-dagang yang mendominasi pasaran Malaysia seiring dengan taglinenya “memberi nilai yang berbaloi”.
#E-dagang #Ipsos #Shopee #pembukaan semula ekonomi